Eropah dan pengaruh Zionis


Hishamuddin Rais

Bani Yahudi juga dibenci kerana mereka mendominasi ekonomi. Maka dari perebutan ekonomi inilah yang menjadikan Parti Nazi popular. – Gambar EPA, 8 Disember, 2023.

PADA tahun 1993 saya telah pergi merayau ke Tanah Besar Eropah. Ketika itu saya warga pelarian politik.

Awalnya saya menetap di Belgium kemudian berpindah ke London. Saya telah berkali-kali merayau di Eropah Barat. Kali ini saya ingin melihat Eropah Timur setelah keruntuhan Soviet Union pada tahun 1989.

Sasaran saya ialah Republik Czech, Poland dan Slovakia. Hampir sebulan saya merayau di Republik Czech dan Slovakia. Kemudian saya naik kereta api melintas ke Poland. Bandar yang saya tuju ialah Krakow.

Saya ingat lagi pagi itu sesampai saya di luar stesen saya telah didatangi oleh beberapa pemandu teksi dan pemandu pelancong.

“Sir… Auschwitz… My car… Visit Auschwitz…”

Saya tahu apa ada di Auschwitz. Saya telah membaca tentangnya bekali-kali dari akhbar kota London.

“What is there… in Auschwitz?” Saya membuat pertanyaan bodoh.

“Jews concentration camp… Museum… Not far… One hour by my car… Day trip…” Pemandu pelancong anak muda warga Poland mengajak saya ke Auschwitz melawat bekas kem tahanan Yahudi.

“Are they still burning the Jews?” Saya buat lawak bodoh sambil menapak menuju ke alamat hostel tempat menginap.

“Second world war… Not today.” Pemandu pelancong pasti menganggap orang kulit hitam ini bebal tidak tahu sejarah.

Saya tahu apa yang berlaku di Eropah dalam Perang Dunia Kedua. Hitler dan Nazi di Jerman membantai Yahudi. Auschwitz adalah salah satu dari kem tahanan Yahudi.

Pengetahuan saya tentang Yahudi, Zionis, Nazi atau Hitler pada ketika itu – sebelum Lebai Google wujud – tidak mendalam. Tapi mencukupi untuk menjadi latar memahami politik Eropah.

Malah di Jelebu ketika dalam sekolah menengah lagi saya telah menonton banyak filem Perang Jerman. Dari wayang yang saya tonton saya berupaya membezakan topi besi Jerman dan topi besi Amerika.

Hebat sungguh – dari zaman sekolah rendah lagi saya Sakai Biduanda budak kampung dari Jelebu boleh mengenal topi askar jahat dengan topi askar baik.

Ilmu pengetahuan ini datang dari Panggung Ruby. Filem Perang Jerman mengajar saya.

Saya tidak sedar bahawa filem perang yang saya tonton adalah seni halus untuk mengolah persetujuan saya bahawa Amerika baik dan Jerman jahat.

Antara baik dan jahat ini yang menjadi mangsa ialah Yahudi. Bani Israel ini terus menerus digambarkan dalam wayang ini sebagai mangsa Nazi.

Malah saya mula berkenalan dengan Yahudi pun melalui Panggung Ruby. Saya menonton filem The Ten Commandments – Sepuluh Rukun (1956). Ini ketika saya dalam darjah dua, tahun 1958.

Satu rombongan dari Sekolah Umum Ulu Klawang telah pergi ke Kuala Klawang untuk menonton filem Sepuluh Rukun. Tauke panggung datang dari sekolah ke sekolah menjual tiket berharga 40 sen.

Filem ini kesah Nabi Musa yang membawa Bani Israel lari dari Mesir ke Palestin. Mustahil saya akan melupakan adegan tongkat Nabi Musa yang membelah laut.

Saya ingat lagi watak jahat Firaun berkepala botak dimainkan oleh Yul Brynner (1920-1985). Watak baik Nabi Musa seorang Yahudi dimainkan oleh Charlton Heston (1923-2008)

Tahun 1986 saya berhujung minggu di rumah kenalan di Dortmund, kota di bahagian selatan Jerman yang bersempadan dengan Belanda dan Belgium. Dari dalam kereta api saya masih dapat melihat “gigi naga” dipasang di wilayah sempadan.

Gigi naga ini ialah busut-busut kecil berbucu tajam dari simen dan besi. Busut batu didirikan di sempadan untuk menghalang kereta kebal masuk ke wilayah Jerman dengan mudah.

Kawan saya menerangkan bahawa setiap malam Ahad, satu stesen TV Jerman akan menayangkan filem Perang Dunia Kedua dari Hollywood. Ini arahan dari kerajaan Jerman. Ini sebahagian dari Perjanjian Damai Perang Dunia Kedua.

Mengikut surah kawan saya pada jam 9 Ahad malam air akan berkurangan di seluruh Jerman. Ini kerana ketika filem perang ini ditayangkan di TV akan ada pengiklanan.

Ketika iklan ditayang begitu ramai warga Jerman yang menonton akan ke tandas sebentar. Ini menjadikan air kurang di pili kerana disedut ke tandas.

Bayangkan rakyat Jerman dipaksa secara halus menonton kejahatan datuk dan bapa mereka dalam Perang Dunia Kedua.

Licik dan bijak jarum halus Zionis menjahit warga Eropah.

Hari ini pemimpin Eropah seperti Emmanuel Macron dari Perancis, Olaf Scholz dari Jerman, Rishi Sunak dari United Kingdom – telah bersetia kawan dengan Israel.

Ketiga-tiga pemimpin ini telah bertandang ke Tel Aviv sesudah 7 Oktober 2023. Mereka berjumpa Perdana Menteri Rishi Netanyahu untuk menyatakan sokongan mereka terhadap tindakan Israel.

Tiga negara ini mengecap Hamas sebagai gerakan pengganas. Ini sama seperti dasar yang dipegang oleh Amerika Syarikat.

Simpati pemimpin Eropah dan juga warga Eropah Barat dan Timur ini ada sejarahnya. Pada satu ketika dahulu – semenjak zaman berzaman – semenjak zaman Nabi Musa lagi Bani Israel ini tidak memiliki negara. Suku kaum Yahudi ini tinggal menetap terpencar-pencar dalam negara-negara Arab.

Majoriti Bani Israel ini menetap aman damai di Palestin bersama dengan Arab Palestin. Islam dan Yahudi tidak bermasalah.

Wajib diketahui di sini bahawa dari segi salasilah Arab dan Yahudi semuanya dari suku kaum Semitik.

Semitik juga satu bahasa — termasuk Ibrani atau Hebrew dan Arab — serta orang yang secara tradisinya menggunakan bahasa ini.

Semit berakar umbi dari nama Alkitab Shem, anak Nabi Nuh, yang secara tradisinya dianggap sebagai nenek moyang orang Yahudi dan Arab.

Maknanya Arab dan Yahudi adalah Semit. Sama seperti Orang Kelantan dengan Orang Jawa atau dengan Orang Banjar – asal usul yang sama. Mereka semua bani Melayu.

Justeru menuduh Arab sebagai anti-Semit adalah perkara yang tidak masuk akal. Ini sama seperti Orang Jelebu benci dengan Orang Minang.

Permusuhan terhadap orang Yahudi mungkin bermula hampir sejauh sejarah Yahudi. Dalam empayar purba Babylonia, Yunani, dan Rom, orang Yahudi – yang berasal dari kerajaan kuno Yudea – sering dikritik dan dianiaya.

Ini kerana usaha mereka untuk kekal sebagai kumpulan budaya yang berasingan daripada menerima adat resam agama dan berasimilasi dengan Bumiputera.

Dengan kebangkitan agama Kristian, anti-Semitisme merebak ke seluruh Eropah. Orang Kristian awal memburukkan agama Yahudi dalam usaha untuk mendapatkan lebih ramai pemeluk agama Kristian.

Mereka menuduh orang Yahudi melakukan perbuatan aneh seperti “minum darah” – penculikan dan pembunuhan kanak-kanak Kristian untuk menggunakan darah mereka untuk membuat roti dalam upacara sembahyang Paskah.

Sikap keagamaan ini dicerminkan dalam dasar ekonomi, sosial dan politik anti-Yahudi yang meresap ke Zaman Pertengahan Eropah.

Bani Yahudi menjadi imigran awal di Eropah. Dari Palestin mereka merayau-rayau dan menetap di Eropah.

Mereka enggan menerima budaya di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Justeru diskriminasi terhadap Yahudi di Eropah dijalankan oleh daulah.

Bani Yahudi tidak dibenarkan memiliki tanah. Bani Yahudi tidak bertani. Justeru untuk mencari makan mereka berniaga dan berjual beli.

Sejarah menunjukkan bagaimana negara Kristian yang mengikut ajaran agama Kristian melarang riba. Bani Yahudi tidak melarang riba.

Maka mereka menjadi pemula sistem pinjam meminjam duit. Justeru hingga hari ini Yahudi mendominasi sistem perniagaan mata wang, pinjam meminjam duit dan perniagaan bank.

Jelas kalau dikaji dan diselidiki akan ditemui bahawa ekonomi adalah punca kebencian Bani Lain terhadap Bani Israel.

Ekonomi adalah punca membuka pentas perang. Perebutan punca-punca ekonomi menjadikan Si Polan A bergaduh dengan Si Polan B. Untuk mendapat sokongan, Si Polan A akan menggunakan kaum dan agama.

Dari pergaduhan perebutan ekonomi individu menjadi pergaduhan negara.

Jerman marah pada Perancis kerana kawasan subur Lembah Alsace-Lorraine dimiliki oleh Perancis. Perebutan punca ekonomi inilah yang membawa perang.

Bani Yahudi juga dibenci kerana mereka mendominasi ekonomi. Maka dari perebutan ekonomi inilah yang menjadikan Parti Nazi popular.

Sebelum Perang Dunia Kedua pecah, Bani Yahudi mendominasi ekonomi Jerman. Ini asas kebencian Bani Jerman terhadap Bani Yahudi.

Hitler (1889-1945) menang pilihan raya tahun 1932. Hitler berjaya menjadi Canselor dan telah menjadikan Yahudi musuh utama dalam kempen politik. Nasionalisme dan kesedaran Bani Jerman dibakar dan diolah oleh Parti Nazi.

Bani Yahudi dibantai untuk menyelamatkan ekonomi warga Jerman dari terus dimonopoli oleh Bani Yahudi.

Kita tahu – kita telah membaca – kita telah menonton filem “Perang Jerman”. Kita tahu apa yang berlaku. Kita tidak perlu melawat muzium Auschwitz di Poland untuk memahami pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Hitler.

Dunia berkenalan dengan perkataan genosid. Perkataan ini berasal usul dari perkataan Yunani kuno “genos” bermaksud bangsa atau suku dan “cide” dari perkataan Latin membawa makna bunuh. Genosid adalah pembunuhan suku kaum.

Dunia juga menerima konsep Holocaust. Perkataan Holocaust berasal daripada holokauston bahasa Yunani. Ini dari terjemahan perkataan Hebrew “olah”, bermaksud korban yang dibakar untuk dipersembahkan sepenuhnya kepada Tuhan.

Pemahaman kita tentang Holocaust hari ini adalah penyembelihan besar-besaran orang awam Eropah dan terutamanya Yahudi oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua.

Dari filem, dari muzium, dari buku, dari gambar, dari perbualan harian dalam dunia hari ini kita akan mengakui bahawa Bani Yahudi telah menjadi mangsa. Mereka didiskriminasi, mereka diinjak-injak, mereka dari zaman kuno hingga sekarang dibenci.

Wayang Perang Jerman memperlihatkan naratif bahawa Yahudi menjadi mangsa dan beramai-ramai dibunuh dengan gas beracun.

Diumumkan, dihebohkan kepada dunia bahawa dalam Perang Dunia Kedua seramai 6 juta Yahudi telah dibunuh dengan gas oleh Hitler.

Justeru Holocaust dan genosid adalah milik dan monopoli Bani Yahudi.

Betulkah 6 juta Bani Yahudi mati dalam Perang Dunia Kedua? Jumlah ini tidak saya pertikai walau pun ada kumpulan pengkaji yang mempertikai jumlah ini.

Angka berapa ramai pun Yahudi mati kerana gas tidak perlu dipertikai. Yang perlu ialah kita berterima kasih kepada Lebai Google kerana hari ini naratif Bani Yahudi sebagai mangsa hampir terbarai.

Kewujudan Internet membolehkan kita membebaskan diri kita dari monopoli naratif taburan media pro-Zionis.

Saya berani memberitahu di sini bahawa dalam Perang Dunia Kedua seramai 20 juta warga Rusia telah gugur. Negara dan soldadu Rusialah yang paling ramai berkorban melawan Nazi.

Bagaimana fakta 20 juta warga Rusia gugur tidak diheboh, tidak dijaja ke hulu ke hilir seperti Holocaust? Pencerahan minggu hadapan. Amin. – 8 Disember, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen