Penyokong pro-Palestin berhimpun seluruh Eropah 


Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di luar kedutaan Israel di Warsaw, Poland.– Gambar EPA, 19 November, 2023.

RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Perancis dan Britain pada Sabtu bagi menggesa gencatan senjata di Gaza, manakala ratusan yang lain hadir semula di bandar-bandar di seluruh Eropah.

Protes telah diadakan di seluruh Eropah selepas Israel berterusan melancarkan serangan ke atas orang awam di Palestin.

Beberapa ribu orang berarak melalui tengah Paris dalam hujan lebat di belakang sepanduk bertulis “Hentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan Tebing Barat, gencatan senjata serta-merta”.

“Perancis mesti segera menggesa gencatan senjata,” kata setiausaha agung kesatuan CGT, Sophie Binet, salah seorang daripada beberapa pemimpin kesatuan yang berucap pada perhimpunan itu.

CGT menganggarkan 60,000 orang berhimpun di ibu negara dan 40,000 lagi berkumpul di berpuluh-puluh bandar lain di seluruh negara.

Kementerian dalam negeri bagaimanapun berkata 7,000 orang berarak di Paris dan 45,000 di seluruh negara untuk Sabtu ketiga berturut-turut.

Di Marseille, AFP menyaksikan beberapa ratus orang bertafakur seminit untuk mangsa perang Palestin, manakala di Toulouse lebih 1,200 orang mengambil bahagian dalam perarakan, menurut polis.

Israel berkata Hamas membunuh lebih 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menjadikan 239 tebusan apabila mereka menyerbu merentasi sempadan pada 7 Oktober.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza berkata kira-kira 12,300 orang telah terkorban di wilayah Palestin dalam tindak balas berterusan tentera Israel, lebih 5,000 daripadanya kanak-kanak.

Di tempat lain di Eropah, penganjur berkata kira-kira 4,000 orang berarak di Geneva, menyalakan lilin yang dipamerkan sebagai peta Gaza di hadapan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Eropah.

Satu sepanduk besar bertulis “Hentikan Genosid di Gaza” dan ramai yang menjerit “Bebaskan, bebaskan Palestin!” dalam Bahasa Inggeris.

Dua perhimpunan turut diadakan di Amsterdam, satu menggesa gencatan senjata untuk Gaza, satu lagi menuntut pembebasan tebusan yang dikuasai Hamas, walaupun polis berkata protes itu tenang dan tiada tangkapan dibuat.

Beberapa ribu orang berarak di Lisbon, ramai juga yang menjerit dalam bahasa Inggeris “Palestine akan bebas”.

“Saya rasa ketidakadilan terhadap Palestin, sejak 75 tahun lalu, adalah sangat teruk,” kata Maria Joao Ralha, 64.

Beberapa ratus orang berarak melalui Warsaw, dengan protes memuncak dengan perhimpunan di hadapan kedutaan Israel di Poland.

Di Istanbul, yang menyaksikan protes besar-besaran yang dinaungi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa kempen Israel dihentikan, kira-kira 100 orang menyalakan suar dan mengangkat sepanduk anti-perang di bawah hujan lebat di luar konsulat Israel.

Perhimpunan itu dibuat oleh kumpulan penyokong bola sepak, yang sering memainkan peranan penting dalam protes Turki.

Semua kakitangan diplomatik Israel meninggalkan Turki bulan lalu sebagai langkah keselamatan. – AFP, 19 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen