33 trak bantuan masuk Gaza semalam, kata PBB


Sebelum ini kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari. – Gambar AFP, 30 Oktober, 2023.

LEBIH 30 trak bantuan memasuki Gaza semalam, konvoi terbesar ke wilayah Palestin yang dilanda perang sejak penghantaran mula masuk semula sejak seminggu lalu, kata PBB.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata 33 trak yang membawa air, makanan dan bekalan perubatan memasuki Gaza semalam melalui sempadan Rafah dengan Mesir.

“Ini adalah penyampaian bantuan kemanusiaan terbesar sejak 21 Oktober apabila penghantaran terhad disambung semula,” kata OCHA dalam kemas kini mengenai situasi di Gaza yang dihantar awal hari ini.

Setakat ini katanya 117 trak memasuki Gaza melalui sempadan itu sejak penghantaran terhad diteruskan ke wilayah Palestin yang mempunyai 2.4 juta penduduk yang terkepung dan berdepan pengeboman Israel tanpa henti.

Sebelum ini kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari.

Serangan Israel menyebabkan lebih 8,000 orang yang mana separuh daripadanya kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan.

Beribu-ribu bangunan musnah dengan lebih separuh penduduk dipindahkan.

Ketua PBB Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan bahawa Israel sedang mempergiatkan operasi ketenteraannya di Gaza dengan memberi amaran “dunia sedang menyaksikan malapetaka kemanusiaan”.

Seorang pegawai kerajaan AS yang tidak mahu namanya disiarkan semalam berkata berkata Israel komited untuk membenarkan 100 trak bantuan masuk ke Gaza setiap hari,  angka yang menurut PBB diperlukan untuk memenuhi keperluan paling asas.

OCHA mengalu-alukan penghantaran bantuan terbaharu tetapi menegaskan “jumlah bantuan yang lebih besar diperlukan secara tetap untuk mengelakkan kemerosotan selanjutnya dalam situasi kemanusiaan yang teruk termasuk pergolakan awam”.

“Khususnya kemasukan bahan api untuk mengendalikan peralatan perubatan dan kemudahan air dan sanitasi diperlukan segera,” katanya.

Daripada 117 trak yang dibenarkan masuk setakat ini, ia berkata 70 trak membawa bekalan perubatan dan 60 trak daripadanya membawa masuk barangan makanan dan pemakanan.

Hanya 13 trak yang membawa bekalan air dan sanitasi, katanya. – AFP, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen