Israel patut diisytihar sebagai negara pengganas


DENGAN segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, ia perlu diisytihar secara rasminya sebagai pengganas.

Pemimpin dan anggota tentera Israel perlu didakwa di semua saluran mahkamah antarabangsa atas segala perbuatan mereka terhadap rakyat Palestin.

Media Barat sering memaparkan kumpulan Hamas sebagai pengganas. Persoalan harus ditanya, adalah kumpulan Hamas benar-benar kumpulan pengganas?

Kumpulan Hamas wujud bagi melindungi hak dan keselamatan rakyat Palestin. Segala tindak tanduk kumpulan Hamas adalah bagi melindungi rakyat Palestin daripada penindasan dan kekejaman Israel.

Hamas adalah singkatan “Gerakan Perjuangan Islam”. Hamas yang ditubuhkan pada penghujung tahun 1980an adalah sebuah organisasi kebangsaan, ketenteraan dan pejuang Islamis Palestin.

Ia mempunyai sayap bantuan masyarakat, dakwah dan ketenteraan.

Hamas memenangi pilihan raya badan perundangan Palestin pada tahun 2006 dan membentuk pemerintahan di Semenanjung Gaza sehingga ke hari ini.

Hamas diasaskan untuk membebaskan negara Palestin daripada penaklukan rwjim Zionis semenjak tahun 1948 selepas Israel ditubuhkan.

Hamas diasaskan oleh Syeikh Ahmed Yassin dari Ikhwanul Muslimun di Gaza. Sejak penubuhannya, kumpulan Hamas melancarkan banyak serangan ketenteraan terhadap Israel.

Terbaru serangan mengejut besar-besaran yang dilakukan pada 7 Oktober 2023 yang lalu terhadap Israel.

Serangan ini menyebabkan ramai rakyat Israel yang maut, cedera dan dijadikan sebagai tebusan.

Serangan mengejut terhadap Israel ini adalah yang terbesar semenjak Perang Arab-Israel meletus pada tarikh yang sama pada tahun 1973.

Pihak Israel mengambil tindakan balas dengan mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza.

Ramai rakyat awam di Semenanjung Gaza yang menjadi mangsa kerakusan tentera Israel termasuklah kaum wanita dan kanak-kanak.

Hospital dan kem pelarian yang berada di Semenanjung Gaza turut dijadikan sasaran oleh pihak Israel.

Akibat daripada tindakan ketenteraan Hamas ini ia diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat pada tahun 1995, Kanada pada 2002 and United Kingdom pada 2021.

Kesatuan Eropah (EU) pula telah isytihar kumpulan Hamas sebagai pengganas pada tahun 2001.

Kumpulan Hamas mencabar keputusan Kesatuan Eropah (EU) ini melalui proses undang-undang dan ia dipersetujui oleh pihak Mahkamah Keadilan Eropah pada 2014.

Pihak mahkamah mengeluarkan kumpulan Hamas dari senarai kumpulan pengganas.

Namun pada tahun 2017 setelah mendengar rayuan dari Kesatuan Eropah (EU), Mahkamah Keadilan Eropah mengembalikan kumpulan Hamas semula ke dalam senarai kumpulan pengganas.

Jepun dan New Zealand pula isytihar unit ketenteraan dalam kumpulan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Persoalan kini timbul, bagaimana pula dengan Israel?

Bukankah Israel patut berada di dalam senarai pengganas?

Umum tahu segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama bertahun-tahun.

Buat sekian lama Israel mengetepikan banyak peruntukan undang-undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Terdapat juga usaha diambil oleh pihak Israel serta pihak tertentu untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka seperti pengisytiharan Baitulmaqdis secara sepihak sebagai ibu kota Israel pada penghujung tahun 2017.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melalui banyak kempen pilihan raya Israel tidak beberapa lama dulu turut menyatakan hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan Israel untuk memastikan setiap inci tanah milik rakyat Palestin menjadi milik mereka sekaligus menafikan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka.

Untuk rekod Israel banyak melanggar Konvensyen Geneva serta pelbagai jenis undang-undang antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.

Antara Konvensyen Geneva yang banyak dilanggar oleh pihak Israel termasuklah dengan melakukan pembunuhan kejam terhadap orang awam Palestin tanpa mengira usia dan jantina, memindahkan rakyat Israel ke kawasan yang ditakluki oleh mereka ke tanah milik Palestin di Tebing Barat menyusahkan kehidupan rakyat palestin dengan mengenakan pelbagai jenis perintah berkurung, sekatan dan penutupan jalan serta kawasan tanpa sebarang sebab yang munasabah serta mengunakan kuasa ketenteraan mereka secara berlebih-lebihan terhadap rakyat Palestin.

Pada masa yang sama juga, pihak Israel melanggar berpuluh-puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok ditanah milik Palestin, serta menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Ini jelas menunjukan kepada kita semua bahawa Israel memang sebuah negara pengganas.

Oleh yang demikian usaha harus diambil dari semua negara khususnya dari kalangan negara Islam untuk mengisytihar Israel sebagai sebuah negara pengganas dengan secara rasminya.

Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) juga perlu mengeluarkan satu resolusi bagi mengisytihar Israel sebagai sebuah negara pengganas.

Setelah semua ini selesai usaha yang sama kemudiannya boleh diambil melalui PBB untuk meminta semua negara dunia untuk mengisytihar Israel sebagai sebuah negara pengganas. – 8 November 2023.

* Dr. Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen