Tindakan guna foto Wan Azizah bersama Sara Netanyahu tidak bertanggungjawab, kata wanita PKR


Ketua Wanita PKR berkata beberapa foto digunakan dan diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab seakan-akan berusaha untuk mewujudkan persepsi Wan Azizah Wan Ismail mempunyai hubungan akrab dengan Sara Netanyahu. – Gambar Instagram, 25 Oktober, 2023.

TINDAKAN pihak yang sengaja menggunakan foto isteri Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggambarkan beliau mempunyai hubungan akrab dengan isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Wanita PKR Pulau Pinang kecewa dan sedih dengan sikap sesetengah pihak yang menjadikan perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin sebagai permainan politik dalam negara.

Ketuanya Nurhidayah Che Rose berkata beberapa foto digunakan dan diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab seakan-akan berusaha untuk mewujudkan persepsi Wan Azizah mempunyai hubungan akrab dengan Sara Netanyahu.

“Kami percaya ia merupakan satu daripada cara untuk menyebarkan kebencian dan anasir politik murahan kepada rakyat Malaysia yang kini turut terkesan dengan perbuatan gila Israel terhadap saudara-mara kita di Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini pengguna media sosial didapati memuat naik gambar dan video Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel semasa hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat pada 21 September lepas.

Nurhidayah berkata sebagai penjelasan walaupun Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat, Wan Azizah menghadiri satu sesi perjumpaan isteri-isteri pemimpin dari setiap negara bersempena dengan UNGA itu.

“Siapa sangka sedang saudara-mara dan anak-anak di Palestin dibunuh dan ditindas dengan kejam ada pihak di negara Islam ini tergamak mempolitikkan keadaan itu demi memuaskan dendam serakah politik yang melampau,” katanya.

Beliau berkata Wanita PKR Pulau Pinang menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk terus bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas nama kemanusiaan.

“Janganlah kita menjatuhkan maruah agama dan bangsa hanya untuk memenangkan anasir politik murahan,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak. – Bernama, 25 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen