Kebab ayam Poland disyaki penyebab jangkitan salmonella merentasi Eropah


Agensi Austria mengesan asal usul jangkitan, yang membawa kepada penemuan semua pesakit yang dijangkiti telah memakan kebab ayam di restoran. – Gambar AFP, 18 Ogos 2023.

PIHAK berkuasa Austria menggariskan kemungkinan mengenai beberapa kes jangkitan salmonella di seluruh Eropah mempunyai kaitan dengan kebab ayam Poland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi Kesihatan dan Keselamatan Makanan Austria (AGES) memaklumkan pada Rabu bahawa pihaknya telah mengesan 27 kes salmonella pada Februari hingga Julai di Austria dan negara-negara Eropah, manakala seorang individu meninggal dunia akibat jangkitan berkenaan.

Kes juga dilaporkan di Jerman, Belanda, Belgium, Perancis, United Kingdom, Ireland, Denmark dan Norway, menurut laporan AGES pada awal Ogos.

Institut Kawalan Penyakit Robert Koch mencatatkan 10 kes di Jerman.

Kini terdapat tiga kawasan yang mungkin dikaitkan dengan laporan dari Austria.

Agensi Austria mengesan asal usul jangkitan, yang membawa kepada penemuan semua pesakit yang dijangkiti telah memakan kebab ayam di restoran.

Menurut pangkalan data Sistem Makluman Pantas untuk Makanan Kesatuan Eropah, Poland telah memberi peringatan sebanyak sembilan kali kepada negara-negara Eropah yang lain mengenai kebab ayam yang tercemar antara Mac dan April.

Pada akhir Mac, Poland adalah pengeluar daging ayam terbesar di EU, dan pengeksport keempat terbesar di seluruh dunia, mengikut Kementerian Pertanian Poland.

Pengeluaran pada 2022 dilaporkan berjumlah lebih daripada tiga juta tan, menunjukkan peningkatan 8.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lebih separuh daging yang dihasilkan dieksport. – Bernama, 18 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen