Projek infrastruktur hubungkan India, Eropah dan Timur Tengah, kata AS


AS merancang untuk melancarkan projek rel dan perkapalan bagi memudahkan perdagangan dari India ke Eropah melalui Timur Tengah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2023.

AMERIKA Syarikat (AS) merancang untuk melancarkan projek rel dan perkapalan dengan rakan kongsi lain bagi memudahkan perdagangan dari India ke Eropah melalui Timur Tengah, kata pegawai AS pada Sabtu.

AS, India, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Kesatuan Eropah merancang untuk menerima pakai pengisytiharan yang sepadan mengenai projek itu pada sidang kemuncak G20 di New Delhi, menurut Rumah Putih pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman (DPA).

Pelan itu memerlukan “pelaburan berkualiti tinggi dalam membina infrastruktur mampan” yang akan mengisi jurang global serta membawa kemakmuran lebih besar dan ketersambungan lebih baik bagi wilayah utama di seluruh dunia, menurut Rumah Putih dalam satu taklimat.

Bagi Timur Tengah, projek itu merupakan peluang baik bagi meningkatkan perdagangan global, komunikasi digital dan tenaga, kata seorang pegawai kerajaan AS.

Rumah Putih bagaimanapun enggan memberi butiran mengenai tempoh jangka masa.

Portal berita Axios sebelum ini melaporkan ia satu daripada “inisiatif utama” Washington bertujuan untuk membendung pengaruh China di Timur Tengah.

Dengan inisiatif “New Silk Road”, Beijing menyokong projek infrastruktur di seluruh dunia dan memuktamadkan banyak perjanjian dengan hampir semua negara Arab. – Bernama, 9 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen