Dilema PM merombak kabinet


Mohd Azizi Jaeh

Anwar Ibrahim menyedari tanggungjawab berat yang harus dipikulnya, meskipun tidak dapat dizahirkan secara terbuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2023.

TEKA-teki dan bayangan tentang rombakan kabinet masih belum terjawab (sehingga tulisan ini ditulis pengumuman rombakan belum dibuat). Perdana Menteri Anwar Ibrahim kelmarin berkata tiada keperluan mendesak untuk merombak kabinetnya sekarang.

Sejak 10 bulan dibentuk, anggota kabinet yang dikemudi oleh Anwar Ibrahim sebenarnya terbuka kepada pelbagai komen, sama ada kritis mahupun cemuhan.

Segala aspek positif dan negatif telah menekan Anwar untuk lebih responsif bertindak bagi meningkatkan prestasi dan menangani kelemahan pasukannya.

Pencapaian yang kurang memberangsangkan ketika pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu mungkin dijadikan sandaran untuk melakukan perombakan kabinet secara minor ataupun major.

Anwar menyedari tanggungjawab berat yang harus dipikulnya, meskipun tidak dapat dizahirkan secara terbuka. Apatah lagi jika terpaksa menggugurkan beberapa senarai menteri dan menamakan pula ahli jemaah menteri yang baru.

Secara tak langsung, ia boleh mencetuskan konflik dan pertikaian di kalangan gabungan blok parti dalam kerajaan. Maka menarik untuk diperhatikan, bagaimana dilema yang sedang dihadapi Anwar dalam menyusun atur anggota kabinetnya.

Jawatan Menteri Kewangan (sama ada melantik Menteri Kewangan ke-2), Menteri Dalam Negeri, Menteri Ekonomi dan Menteri Komunikasi antara posisi strategik yang menjadi perhatian umum untuk digantikan.

Nama Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari  antara tokoh yang dijangka memanaskan kedudukan strategik dalam kabinet Anwar dalam memenuhi keperluan ekonomi politik yang semakin mencabar.

Kabinet yang hendak distruktur semula ini perlu mengambil kira perjalanan, keberkesanan dan kekuatannya dalam memperkemaskan jentera kerajaan untuk menyampaikan komunikasi kerajaan terutamanya dasar Malaysia Madani.

Anwar mungkin mempertimbangkan beberapa pilihan menurut hemat penulis –pertama mengekalkan keanggotaan kabinet sedia ada dan hanya mengisi kekosongan di Kementerian Perdagangan Dalam dan Kos Sara Hidup, kedua merombak secara besar-besaran dengan menggugurkan dan mengangkat beberapa muka baru, ketiga menukar portfolio menteri dan memasukkan beberapa tokoh berpengalaman yang memiliki kepakaran tertentu.

Soal yang penting di sini bukan sekadar menempatkan pemimpin politik yang berwibawa menyertai kabinet, tetapi bagaimana mereka boleh dianugerahkan kedudukan yang membolehkan mereka menyumbang kepakaran serta kelebihan yang dimiliki –mereka yang mempunyai rekod cemerlang dalam bidang masing-masing.

Faktor lain juga penting untuk dilantik sebagai menteri ialah keupayaan seseorang tokoh untuk berkolaborasi dengan anggota jemaah menteri yang lain. Oleh sebab kelayakan bekerjasama menjadi keutamaan, maka dengan sendirinya ‘telaga sumber’ pemimpin yang boleh diberikan posisi penting dalam kabinet mungkin mengecil.

Kabinet pada prinsipnya berteraskan collective responsibility, bukan individual responsibility. Segala ketetapan yang dibuat badan tertinggi pembuat dasar itu adalah berdasarkan persetujuan bersama.

Akibatnya, individu yang dianggap sebagai ‘pilihan pertama’ untuk mengisi kekosongan di posisi strategik mungkin terpaksa diketepikan. Bukan kerana individu itu tidak berkelayakan atau tidak mempunyai merit, tetapi dikira sebagai tokoh yang tidak ada serasi untuk kerja berpasukan dan kesetiaannya diragui.

Sesiapapun mengepalai jemaah menteri hal ini merupakan suatu dilema –untuk mengimbangi antara tokoh yang berkualiti tinggi dengan tokoh yang boleh mempertahankan kedudukan Perdana Menteri.

Duluan (precedent) ini pernah terjadi dalam konteks pentadbiran Perdana Menteri sebelumnya seperti yang ditulis tokoh wartawan Chamil Wariya. Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah dilaporkan yang kabinet dibentuknya selepas pemilihan Umno pada  1987 bukanlah kabinet yang terbaik.

Tetapi dalam keadaan sedemikian, Mahathir dianggap tidak mempunyai pilihan kecuali memberi juga tempat kepada beberapa nama yang dikira hanya ‘lulus’ kerana mereka telah menyelamatkan posisinya selaku Perdana Menteri dan Presiden Parti.

Bagaimana pula dengan Anwar? Dilema yang dihadapinya tidak jauh berbeda dengan Perdana Menteri sebelumnya. Tentunya beliau perlu memanfaatkan segala tenaga yang berkebolehan, tetapi pada masa sama beliau memerlukan anggota kabinet di kelilingnya mengikat kesetiaan tidak berbelah bahagi.

Oleh itu, Anwar perlu mencari balance antara kepentingannya dengan kewibawaan pasukannya. Tidak cukup setakat menjaja ‘Anwar is the best salesman for Malaysia’ (seperti kata Menteri MITI, Tengku Zafrul) jika menteri-menterinya tidak kompeten.

Dilema lain yang membayangi Anwar ialah kerajaan yang dipimpinnya merupakan kerajaan campuran terdiri pelbagai gabungan parti. Keputusan yang dianggap tidak dirundingkan dengan ketua-ketua gabungan parti boleh mencetuskan risiko ketidakharmonian kerajaan perpaduan apabila melibatkan jawatan mana perlu digantikan. Sedangkan kuasa menentukan barisan jemaah menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri.

Bayangkan pertukaran posisi menteri ke kementerian lain atau menteri dari sesuatu gabungan parti terpaksa digugurkan, memerlukan persetujuan semua parti. Pendek kata, Perdana Menteri perlu mengambil semua cadangan dan persetujuan agar parti lain tidak berasa terjejas survival mereka.

Tidak mudah memimpin kerajaan campuran berbanding kerajaan satu gabungan parti seperti Barisan Nasional dahulu. Pengerusi BN atau Presiden Umno adalah pemutus muktamad.

Macam-macam perlu perlu diperhitungkan, daripada sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya harus menagih segala keberanian, taktikal dan penelitian rapi. Macam-macam profil dan kepandaian perlu dipamerkan oleh para menteri yang mungkin atau bakal dilantik.

Lebih penting, pilihan yang dibuat Anwar nanti adalah pilihan tepat bagi setiap posisi menteri yang akan menerajui kementerian nanti. – 1 Oktober, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen