Politik muak dan kuasa pengundi


G Manimaran

Di sebalik pelbagai andaian mengenai peratusan keluar mengundi pada November lalu hanya 75% yang keluar mengundi, jauh lebih rendah berbanding pada tahun 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2023.

BARU-BARU ini dilaporkan sejumlah besar pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pendedahan itu mengejutkan banyak pihak.

Mereka dilaporkan sudah tidak berminat untuk belajar, sekali gus menggambarkan minat ke atas pendidikan semakin menurun. Undang-undang negara mewajibkan pendidikan awal.

Golongan muda nampaknya mempunyai pilihan, sama ada terus belajar sehingga ke peringkat lebih tinggi ataupun melangkah ke alam pekerjaan bagi memenuhi keperluan jangka pendek – sara hidup.

Mereka tidak menduduki peperiksaan dan tidak berminat untuk mengikuti pengajian tinggi.

Perkara itu dikatakan banyak dipengaruhi oleh kesan kewujudan teknologi ekonomi gig, dibadai kesan kos sara hidup dan peluang gaji yang tidak seimbang dengan kelayakan pendidikan diperoleh.

Ledakan teknologi mengatasi kewajipan di bawah kerangka perundangan.

Para pemegang taruh yang ada kaitan dengan nasib kumpulan itu perlu memikirkan bagaimana untuk menangani isu itu dengan efektif lalu menawarkan satu solusi jangka panjang.

Ia penting jika kita mahu mengelak kehilangan satu generasi yang berkualiti dalam proses pembangunan negara.

Bertolak daripada isu itu, timbul persoalan sama ada situasi yang sama bakal merebak ke dunia politik dan pilihan raya demokrasi negara?

Undang-undang negara menyediakan peruntukan bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun mengambil bahagian dalam pilihan raya – sama ada sebagai pengundi mahupun sebagai calon.

Satu impak besar pelaksanaan sistem pendaftaran secara automatik ialah peningkatan dengan ketara jumlah pengundi yang layak untuk menentukan wakil rakyat dan hala tuju negara.

Apabila peruntukan itu diperkenalkan pada Julai 2019 wujud pandangan yang berbelah bahagi. Ada yang menyambut baik. Terdapat juga pihak yang sangsi dengan peruntukan itu.

Impak awal telah dirasai semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen dan tiga negeri pada 19 November lalu.

Sebelum itu, situasi yang sama disaksikan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac 2022, pilihan raya pertama menggunakan kehadiran pengundi-pengundi muda antara 18 dan 20 tahun, dan pendaftaran secara automatik.

Peratusan keluar mengundi pada November lalu tidak setinggi peratusan yang direkodkan pada tahun 2018.

Kali ini, PRN enam negeri akan menerima kehadiran 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun. Kumpulan itu dipercayai akan menjadi penentu kemenangan parti dan calon.

Jumlah itu membabitkan hampir separuh daripada lebih 9.6 juta keseluruhan pengundi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, sekali gus mendominasi bilangan pemilih.

Ketika PRN Johor pada Mac 2022, buat pertama kali, undi pos dibenarkan. Namun, daripada 200,000 warga Johor yang menetap di Singapura hanya sekitar 8,000 yang dikatakan mendaftarkan diri sebagai pengundi pos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya mengeluarkan sedikit lebih 36,000 kertas undi pos. Tidak ramai yang memohon untuk undi pos ataupun menerima dengan baik kemudahan yang julung kali disediakan itu.

Keghairahan tidak dirasakan oleh pengundi lain untuk menggunakan peluang tersebut. Pelbagai alasan diberikan. Ini termasuklah proses pendaftaran yang agak rumit. Banyak sebab diketengahkan.

Antaranya, susulan pandemik Covid-19 dan kecewa dengan perkembangan politik sejak selepas PRU14 pada tahun 2018. Ini termasuklah Langkah Sheraton. Detik itu membawa kepada rasa muak terhadap perjalanan politik.

Ketika PRN Johor dan PRU15 November lalu, sukarelawan-sukarelawan juga telah berkempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keluar mengundi dalam pilihan raya.

Di sebalik usaha pelbagai pihak, peratusan keluar mengundi semasa PRN Johor hanya 54.92%. Perkembangan itu memang telah dijangkakan.

Di sebalik pelbagai andaian mengenai peratusan keluar mengundi pada November lalu hanya 75% yang keluar mengundi, jauh lebih rendah berbanding pada tahun 2018.

Politik muak berterusan. Minat ke atas pilihan raya juga menurun. Kedua-dua ciri ini bakal menjejaskan peratusan keluar mengundi di enam PRN.

PRN membabitkan enam negeri bakal diadakan tempoh kurang daripada setahun. Lebih tepat dalam tempoh 10 bulan selepas keluar mengundi pada 19 November.

Siri perkembangan yang menghiasi dunia politik negara telah berlaku dan disaksikan sepanjang enam bulan lalu. Selain politik panas, pengundi tidak merasai kelebihan yang mampu menjadi magis untuk menarik pengundi dalam jumlah yang ramai – lebih tinggi berbanding pada tahun 2018.

Situasi itu sudah pasti akan mempengaruhi paras keluar mengundi PRN enam negeri yang dijangka akan dilangsungkan pada awal Ogos ini.

Pengundi mula bertanya sama ada penyertaan mereka dalam pilihan raya sebagai pengundi akan memanfaatkan mereka. Mereka juga bertanya perlukah mereka keluar mengundi sekali lagi dalam tempoh 10 bulan. Adakah undi mereka bermanfaat.

Di sebalik banyak persoalan ini, kita berharap politik muak tidak akan menjejaskan dengan teruk peratusan keluar mengundi di enam negeri.

Pengundi tidak wajar kecewa dengan politik muak. Pengundi mempunyai kuasa yang besar untuk menentukan hala tuju negara dan wakil rakyat. Jangan sampai kecewa yang dialami oleh pengundi memudarkan kekuatan pilihan raya demokrasi.

Pengundi tidak wajar ditewaskan oleh politik muak dan karenah aktor politik yang mengutamakan kepentingan diri.

Pada hari ini, hilang minat ke atas pendidikan dan pengajian tinggi, dan pilihan raya tidak jauh berbeza. Kita berhadapan dengan satu tugas besar yang berat untuk terus menyuburkan semangat demokrasi.

Peratusan keluar mengundi perlulah tinggi. Gunakan kemudahan yang diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan dan perlembagaan negeri dengan efektif dan baik.

Ini kuasa rakyat. Kuasa pengundi. – 19 Jun, 2023.

* Dr G Manimaran seorang penganalisis pilihan raya

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen