Tolak ancaman gugat kestabilan kerajaan perpaduan, kata Zambry


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir berkata BN menyeru kepada semua pihak memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2023.

MALAYSIA harus menumpukan usaha untuk membina semula ekonomi dan menolak sebarang bentuk ancaman untuk menggugat kestabilan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir.

“BN menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan.

“Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa,” kata Zambry mengulangi sokongan BN terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Justeru asas kestabilan perlu dipertahankan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia,” tambahnya.

“Seni asas kestabilan mesti dijaga oleh semua orang,” katanya.

Kenyataan Zambry itu dibuat selepas khabar angin Perikatan Nasional mempunyai majoriti yang mencukupi di Parlimen untuk membentuk pentadbiran baharu.

Semalam Anwar berkata PN boleh mengemukakan akuan berkanun (SD) untuk membuktikan mereka mempunyai majoriti di Parlimen pada sesi akan datang.

Tambahnya pembangkang dialu-alukan untuk mengemukakan usul dan beliau tidak akan berdepan masalah jika memang benar gabungan itu mendapat sokongan yang mencukupi daripada ahli Parlimen.

Zambry dalam pada itu berkata BN mahu melihat negara aman dan stabil diterajui seorang perdana menteri yang diterima semua parti dalam kerajaan perpaduan.

Baru-baru ini kenyataan di media sosial yang dibuat oleh pemimpin Bersatu Faiz Na’aman mencetuskan lagi spekulasi bahawa PN mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dalam catatan itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata: “126 dah…jika benar Alhamdulillah.”

Sumber dilaporkan berkata Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa Anwar kehilangan sokongan majoriti manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melahirkan kebimbangan terhadap laporan mengenai ketidakstabilan politik dengan mengatakan “cukuplah”. – 6 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen