Undang-undang perangi lompat parti lemah


G Manimaran

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar melahirkan pandangan mengenai larangan antilompat parti yang lemah sekali gus memberikan satu perspektif baharu yang tidak diketahui ramai sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2023.

KETIKA muncul sebagai ahli panel program meja bulat “Deepening Democracy in Malaysia”  di bangunan Parlimen Selasa lalu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkongsi satu perkara yang amat menarik. 

Berdasarkan reaksi spontan para hadirin yang mengisi ruang Dewan Persidangan, pandangan beliau itu kelihatan mengejutkan. 

Bagi saya ia selari dengan pandangan yang saya zahirkan dalam pelbagai platform termasuk dalam tulisan saya dalam kolum ini dua minggu lalu. 

Pandangan beliau berkaitan dengan kerangka perundangan mengenai larangan antilompat parti yang lemah sekali gus memberikan satu perspektif baharu yang tidak diketahui ramai sebelum ini. Wan Junaidi melahirkan isi hati beliau. 

Beliau muncul dalam sesi pertama yang mengupas tajuk “Political Stability in Hung Parliament” (Kestabilan Politik Di Sebalik Parlimen Tergantung). 

Pemudah cara sesi, Thomas Fann yang juga Pengerusi Bersih mengemukakan soalan mengenai undang-undang yang diluluskan untuk mengekang perbuatan melompat parti.

Pertama kali saya berpeluang mendengar dengan sendiri pandangan Wan Junaidi – lebih mudah dikatakan ‘isi hati’ beliau mengenai sifat undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Julai tahun lalu, tiga bulan sebelum Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Beliau menyifatkan peruntukan yang diperkenalkan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan tempoh hari sebagai “lemah”. 

Sebenarnya kenyataan beliau tidak mengejutkan. Sekiranya dilihat daripada sudut keseluruhan peruntukan tersebut sememangnya sangat lemah. 

Dalam penjelasannya beliau yang juga mantan timbalan speaker Dewan Rakyat memberitahu sekarang “saya boleh cakap” sebab tidak lagi berada dalam kerajaan. 

Malah katanya ketika itu beliau tidak dapat memberikan pandangan peribadi sebab masih terikat dengan kedudukan untuk menghormati keputusan kolektif Kabinet.

Setahun yang lalu, ketika usaha menggubal satu peruntukan khusus berkaitan dengan larangan melompat parti ramai sangsi sama ada ia akan menjadi kenyataan susulan bantahan dan penangguhan beberapa kali. 

Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 April ditangguhkan buat kali kedua. 

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Wan Junaidi pada 8 April susulan Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU berkenaan. 

Berdasarkan kenyataan beliau, RUU tersebut tidak  dibentangkan pada sidang khas sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’. Ia juga membawa kepada pembentukan jawatankuasa khas untuk kajian susulan dan ia dipengerusikan oleh Wan Junaidi. Malah, penangguhan itu menimbulkan reaksi banyak pihak terutamanya dalam kalangan ahli Parlimen.

Dalam penjelasannya ketika sesi meja bulat anjuran Bersih, Kofi Annan Foundation, Global Bersih dengan sokongan Parlimen Malaysia dan beberapa institusi lain itu, Wan Junaidi juga berkongsi di peringkat awal beliau mengesyorkan kerangka yang lebih kukuh dan mantap bagi mencapai hasrat pelbagai pihak. 

Malangnya berdasarkan pandangan beliau itu, cadangan awal berhadapan dengan tentangan daripada parti-parti dalam kerajaan dan anggota Kabinet. 

Pendirian tidak bersetuju dengan kandungan asal cadangan yang digariskan bukanlah satu rahsia. Senario itu mendapat liputan media dari masa ke masa lalu mengundang pelbagai reaksi susulan.

Di sebalik kontroversi dan kekecewaan pelbagai pihak undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen dan setakat ini sebahagian besar kerajaan negeri juga mengambil langkah untuk meminda perlembagaan negeri masing-masing.

Selepas 10 bulan undang-undang itu diluluskan, sudah wujud keperluan untuk memperkasakan kerangka perundangan itu. Sebagaimana saya sebutkan dalam tulisan-tulisan sebelum ini, undang-undang semasa sebenarnya tidak cukup kuat. 

Masih ada lompong dan kecacatan yang kritikal untuk ditangani. Jika tidak usaha untuk menangani perbuatan melompat parti tidak dapat ditangani dengan menyeluruh.

Apa pun kita perlu mengakui peruntukan semasa merupakan satu permulaan ‘yang agak lengkap’ pada awal tahun 2022 – ketika ramai bercakap mengenai bakal pembubaran dewan perundangan untuk mengadakan PRU15. 

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan pernah berkongsi pandangan dengan saya, “lebih baik kita adakan peruntukan semasa daripada tidak ada langsung”. 

Undang-undang ini perlu dikemas dan dimantapkan selepas ini, kata beliau ketika perbincangan mengenai perkara itu menjadi hangat semasa ramai mula mempersoalkan sama ada ia akan menjadi kenyataan atau tidak.

Akhirnya ia menjadi realiti tetapi dalam sifat yang lemah, dan kekurangan yang perlu diatasi untuk mewujudkan kerangka perundangan yang lebih mantap.

Mesej pandangan terbuka Wan Junaidi menunjukkan negara perlu mengambil tindakan proaktif untuk menambah baik undang-undang sedia ada. 

Tidak ada undang-undang yang lengkap khususnya yang dibuat oleh manusia. Kita kena kembali kepada semangat, tujuan dan hasrat kita menggubal kerangka perundangan berkaitan dengan antilompat parti selepas lebih tiga dekad membahaskan akan keperluannya.

Pastinya peruntukan semasa tidak lengkap. Tidak cukup taring untuk mengekang isu yang didebatkan begitu lama. Kita perlu memberi suntikan baharu.

Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim diharap akan melakukan sesuatu untuk memantapkan undang-undang semasa. – 15 Mei, 2023.

* Dr G Manimaran merupakan penganalisis pilihan raya

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen