Peti perang menjelang pilihan raya


Hishamuddin Rais

APA itu perang? Perang berlaku apabila dua kumpulan yang bertelagah duduk di meja berunding dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian tapi gagal.

Perang sebenarnya ialah penerusan perbincangan melalui penggunaan senjata.

Vladimir Putin seawal 2008 berkata: Nata jangan sampai ke hadapan pintu rumah Rusia. Ukraine jangan jadi anggota Nato; ini mengancam keselamatan Rusia.

Ini keluar dari mulut Putin. Ucapan dan kata-kata Presiden Rusia ini didengar oleh Presiden Amerika – Barack Obama, Trump dan Biden. Kesemua mereka tidak ambil peduli dengan kata-kata Putin ini. Akhirnya perang pecah di Ukraine.

Perang memerlukan dana. Untuk membuat bom, senapang, peluru, meriam atau jet pejuang atau membayar gaji soldadu memerlukan dana.

Kos perang amat mahal. Dibayar dengan darah, nyawa dan wang ringgit.

Pilihan raya juga adalah perang. Pilihan raya juga berniat untuk merampas kuasa. Menjatuhkan yang lama dan mendirikan yang baru.

Perang PRU tanpa menggunakan senjata. Tidak ada yang mati dan tidak ada letupan bom. Yang kalah perang PRU jatuh miskin, susah dan merana.

Silap hari bulan jika kalah perang PRU boleh berjumpa Najib di Kajang.

Justeru ketika PRU berjalan kita terbaca tajuk berita – perang poster atau perang kain rentang atau perang saraf. Unsur dan ciri perang bersenjata wujud dalam perang PRU.

Sama seperti perang senjata, perang pilihan raya juga memerlukan dana. Untuk menang perang bersenjata memerlukan dana yang banyak. Untuk menang perang pilihan raya juga memerlukan dana yang lumayan.

Dari dua genre perang ini maka timbul konsep war chest atau peti perang. War chest atau peti perang ini adalah simpanan pengumpulan dana. 

Dalam peti perang ada duit, emas, dinar, ringgit dan dolar yang diperlukan untuk berperang

Pendakwaan Muhyiddin, pendakwaan Wan Saiful dan penahanan kali kedua Roy oleh SPRM semuanya bersangkutan dengan peti perang.

Dari apa yang umum membaca kita diberitahu bagaimana dana untuk parti dicari dan dana ini disalur untuk masuk ke dalam peti perang.

Dana untuk parti ini bertujuan untuk persediaan perang. Parti politik tanpa dana tidak mungkin akan memenangi kerusi DUN atau Parlimen. Parti-parti kecil tanpa modal amat susah dan hampir mustahil untuk menang.

Pada awal tahun 1955, sebelum Inggeris menyerahkan kuasa kepada United Malays National Organisation, parti politik berjuang tanpa dana yang lumayan. 

Malah ketika ini pemimpin nasionalis anti-Inggeris menjalankan dasar perang rakyat.

Perang rakyat perang yang popular yang mendapat sokongan orang ramai. Dalam perjuangan anti-Inggeris ini dana datang dari saku rakyat.

Semangat perjuangan perang rakyat ini memungkinkan ada dana sokongan sampai ke  Parti Rakyat, Parti Buruh dan ke PMIP (Parti Islam). 

Ini membolehkan parti-parti ini memenangi beberapa kerusi DUN dan Parlimen dalam PRU 1, 2, 3 dan 4.

Malah calon bebas juga ada yang menang.

Manakala United Malays National Organisation dapat juga sokongan rakyat tapi di belakang parti ini ialah kuasa kolonial, kuasa feudal dan dana para cukong.

Hakikatnya budaya peti perang wujud seawal tahun 1955.

Masa dan kuasa membawa perubahan. Sedikit demi sedikit budaya politik pasca-kolonial berubah. 

Dari PRU1 sehingga ke PRU15 kelihatan peti perang memainkan peranan yang amat penting. Saban tahun dana untuk peti perang wajib diperbesarkan.

Mengumpul dana peti perang dirancang lebih awal. Pengalaman telah mendidik aktivis dan pemimpin parti: Tak ada fulus semua tak lulus. Tak ada duit berkempen perit.

Sering kita dengar politikus berkata: Berkempen dengan air liur tidak mencukupi dan tidak membawa undi.

Hakikatnya dalam budaya politik pilihan raya hari ini mana-mana parti politik tanpa peti perang, jangan nak hidu bau kerusi Dun atau Parlimen.

Ini budaya politik baru pasca zaman penjajahan. Ini budaya politik elektoral atau politik mengundi. Inilah amalan budaya politik kita sekarang.

Apa yang kita baca bersangkutan dengan kes Muhyiddin ini bukan satu yang baru atau pelik. Cara parti politik mengisi parti perang ini telah diketahui umum.

PRU adalah peperangan untuk mendapat kuasa. Untuk mendapat kuasa perlu dana. Tanpa dana dalam elektoral politik kuasa tidak akan tercapai.

Untuk parti politik seperti United Malays National Organisation dan gabungan dalam Barisan Nasional perkara dana cukup senang. 

Sebagai parti yang berkuasa ramai sosok, ahli perniagaan, syarikat perniagaan dan para cukong datang menghulur dana.

Mustahil Tuan Haji Hadi tidak mengetahui hal ini. Mustahil Anwar dan Muhyiddin tidak pernah mendengar perkara ini.

Jika tiga sosok ini mengatakan mereka tidak tahu menahu cara mengumpul peti perang ini maka ertinya Bik Mama masih anak dara dan Lady Diana masih hidup.

Cara mengumpul dana ini amat senang. Sebagai contoh: Usahawan Ah Kong beri dana kepada Zahid Presiden United  Malays National Organisation. 

Dana ini bukan masuk ke bank akaun Zahid tapi masuk ke dalam Yayasan Budi Pekerti.

Sebagai contoh: Swee Chin Wan pemilik syarikat Empat Ekor beri duit kepada PKR. Duit tidak masuk ke akaun Anwar. Masuk ke Yayasan Gerak Berbakti.

Sebagai contoh: Cukong Tan Kai Koon beri dana kepada Muhyixdin. Bukan masuk ke akaun Muhyiddin tapi masuk ke akaun Bersatu.

Sebagai contoh: Hadi terima duit dari Lim Cho Tong, peniaga dari Singapura. Duit ini untuk parti Pas. Tidak masuk ke akaun Hadi tapi masuk ke Yayasan Al-Kopiah.

Dana yang diberi kepada parti politik ini semuanya pelaburan. Sebagai pelaburan daripada syarikat atau towkay, usahawan atau para cukong – pelaburan wajib bawa keuntungan. 

Modal pelaburan mereka wajib membawa laba berganda. Jika tidak – tidak ada guna melabur.  

Kaum pemodal mencari untung. Di mana boleh dapat untung, di sana mereka berhimpun. Ini hukum budaya kapitalis.

Zahid yang ada kuasa dengan baik hati meluluskan kontrak Bank VISA kepada Ah Kong.

Muhyidin juga dengan bermurah hati memberi Tan Kai Koon kontrak 7G untuk membuat pembetung air.

Anwar Ibrahim pula melulus lesen import telor masin dari India kepada Swee Chin Wan

Hadi dengan hati terbuka memberi ban balak di Kelantan kepada syarikat balak milik Lim Cho Tong dari Singapura.

Semua ini adalah contoh. Semua ini hanya misalan. Contoh-contoh ini bukan benar berlaku. 

Yang benar, yang betul dan yang sahih apabila kita mendengar Zahid, Hadi, Anwar atau Muhyidin ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Seyogia diingatkan bukan semua dana ini masuk melalui bank. Banyak juga duit masuk secara tunai.

Pada 23 Mei 2018 portal MStar melaporkan: Hampir RM120 juta ditemui selepas pasukan penyiasat selesai mengira wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas dari Pavilion Residences pada minggu lalu.

Jumlah RM120 juta yang dijumpai di rumah Najib boleh dikatakan kecil. Peti perang wajib diisi lebih daripada RM120 juta ringgit.

Justeru kita jangan terperanjat apabila Muhyiddin dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima duit untuk Bersatu. Duit ini untuk peti perang.

Kita juga jangan terperanjat apabila Hamzah atau Muhyiddin mahu akaun PKR dan akaun United Malays National Organisation diperiksa sama.

Kenyataan pemimpin Bersatu ini membuktikan mereka juga tahu duit ada masuk ke dalam peti perang parti Zahid dan parti Anwar.

Malah kita juga jangan lupa sejarah Si Muhyidin, Si Anwar, Si Hamzah – semuanya mengeram dan menetas dari parti pengamal rasuah numero uno di Malaysia i.e Parti Ketuanan. Melayu yang menggunakan nama Inggeris – United Malays National Organisation.

Mereka berasal usul dari kepok yang sama.

Peti perang ini akan terus wujud. Ini sistem dan budaya elektoral politik. Kalau tidak ada dana jangan masuk perang PRU.

Dari desas desus yang didengar dana yang diperlukan dalam perang PRU ini bukan lagi ribu ribu, bukan lagi juta juta – kini dah masuk bilion bilion ringgit.

Poster, bendera, kayu bendera, duit kenduri makan minum, duit upah pekerja, duit minyak – semua perlu dana. Semua bala tentera perlu upah.

Pada masa yang sama di beberapa kampung undi perlu dibeli. Pengundi perlu disogok dengan beras, susu, kasut ban baju sekolah, gula dan sardin. 

Tidak cukup dengan ini wajib ada duit poket untuk tambang dan duit minyak.

Ketika berkempen penyalur propaganda bukan lagi TV3, RTM, Utusan, The Star atau  Sinar Harian. Dunia Internet membawa penyalur baru. Portal berita menjadi penting.

Portal berita memerlukan dana.  

Malah dalam perang PRU 15 yang lalu memunculkan satu rejimen baru – askar siber atau cytro atau cybertrooper.  Askar dari rejimen ini akan berperang dengan musuh di alam siber.

Para cytro – soldadu siber – akan berperang di Tik Tok, di Instagram, di Twitter, di Telegram atau di Facebook.

Perang siber juga memerlukan dana.

Justeru apabila Muhyiddin didakwa, umum sedar ini jelas penyambungan perang PRU15 yang belum selesai. Malah perang PRU15 ini akan berpanjangan.

Kes pemimpin Bersatu dan PAS yang umum baca, lihat dan dengar ini adalah gendang perang untuk PRN (pilihan raya negeri). Dalam bulan Mei, Jun atau Julai, perang enam negeri akan bermula.

Sebelum musuh dapat mengisi peti perang adalah bijak jika Jeneral dan Leftenan musuh didakwa dahulu.

Peti perang musuh wajib dimusnahkan terlebih dahulu. Amin. – 22 Mac, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen