Pilih calon bukan parti


Mohd Fudzail Mohd Nor

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan merupakan jumlah yang teramai dalam sejarah pilihan raya. 

Berlaku banyak pertembungan melebihi empat penjuru dan tidak ketinggalan 10 calon bertanding di Parlimen Batu.

Terdapat 5.7 juta pengundi terdiri daripada golongan anak muda bakal menjadi penentu tahap sokongan terhadap parti politik.

Setiap parti berpotensi dan berpeluang dengan menampilkan calon-calon daripada aneka latar belakang yang boleh menambat hati para pengundi dalam kempen selama dua minggu.

Pengundi daripada pelbagai kelompok, orang biasa, penjawat awam,  politikus, kumpulan profesional, ahli korporat, sukarelawan mula memikirkan siapakah bakal dipilih.

Boleh dikatakan setiap orang mempunyai bayangan calon disukai dan diminati untuk dipilih. 

Namun sama ada pilihan individu terpilih tertakluk kepada ketetapan parti kecuali individu berkenaan memilih untuk bertanding sebagai calon bebas. 

Sememangnya, pengundi baharu bipartisan berdepan dengan dilema dalam membuat pilihan calon terutamanya di kawasan yang menyaksikan pertandingan banyak penjuru. Ada yang pening dan sukar membuat pilihan lalu undi rosak.

Pengundi seharusnya memilih berdasarkan kriteria calon, bukannya mengikut kepartian. 

Ini kerana masih terdapat parti politik yang meletakkan calon-calon senior bagi memastikan kemenangan, sesuatu yang kebelakang. 

Parti perlu mempertimbangkan reputasi calon dan peka kepada harapan pengundi yang tidak memainkan sentimen agama, jantina, etnik, bangsa dan kenegerian.

Pemilihan calon dilakukan secara teliti, berhati-hati dan bukan secara semberono, pakai hentam keromo saja mengikut arahan warlord. 

Kesilapan dalam pemilihan calon selalunya menyebabkan kepentingan pengundi terpinggir dan dialpakan. 

Dengan kerajaan terbentuk dianggotai oleh individu tidak berintegriti dan tidak berpengalaman dalam pentadbiran, negara makin dalam kepayahan untuk membangun.

Dalam Perkara 48, Perlembagaan dan perlembagaan negeri, menetapkan calon bakal bertanding hendaklah warganegara Malaysia, berusia 18 tahun pada tarikh kelayakan, sempurna akal, tiada sabitan kesalahan di Mahkamah Persekutuan yang dihukum tidak kurang satu tahun penjara atau denda tidak kurang RM2,000, tiada kesalahan di bawah Akta Pilihanraya 1954 dan tidak memegang jawatan berpendapatan mahupun tidak bankrap.

Persoalannya yang bermain difikiran saya, patutkah membuang undi berdasarkan parti atau calon? 

Biar sejak sekian lama, pengundi lebih cenderung memangkah berdasarkan parti, bukan calon. Sudah tidak boleh pakai lagi.

Saya mahu calon yang diangkat menjadi wakil rakyat  terdiri daripada muka-muka baharu yang segar malar, lebih efisien dan bertenaga untuk bekerja.

Sejak penamaan calon, sudah waktunya pengundi memberi lebih pertimbangan ke atas calon dan bukannya menyokong parti secara mengikut. 

Hakikatnya, demokrasi membolehkan rakyat memilih pemimpin yang terbaik untuk membela nasib dalam keadaan negara yang semakin mencengkam.

Ada pemimpin yang baik, berkaliber, dan ada kambing hitam dalam setiap parti. 

Sebagai pengundi mengambil yang jernih dan buang yang keruh untuk memilih secara lebih strategik demi manfaat rakyat seluruhnya. 

Saya membuat pertimbangan sebelum mengundi antaranya melihat kepada gabungan parti, rekod prestasi, kredibiliti calon dan manifesto mesra rakyat. 

Bagi pengundi daripada kumpulan partisan tidak berdepan kesukaran kerana sudah membuat pilihan parti yang disukai. 

Namun bagi pengundi baharu masih lagi membuat pertimbangan terhadap calon yang akan dipilih. Itulah yang tepatnya.

Di kawasan sengit dan berlakunya banyak penjuru, pengundi tentunya akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memilih wakil rakyat bergantung kepada calon dimana pengundi melihat rekod prestasi calon.

Kalau seseorang calon lama mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang, boleh menjadi faktor penarik tetapi sepatutnya berundur. 

Faktor aura dan kredibiliti calon baru boleh menjadi bonus tambahan untuk mendapat undi. 

Kemudian barulah manifesto mesra rakyat boleh menjadi tarikan menunjukkan parti memahami masalah yang dihadapi dan bersedia menyelesaikannya. 

Manifesto yang membantu kesusahan ekonomi rakyat dalam isu harian seperti kos sara hidup, mengatasi masalah harga barang, memberi bantuan ekonomi dan tunai akan dapat menarik pengundi.

Parti mungkin boleh mengetengahkan calon-calon lebih muda, segar dan mempunyai visi dalam menarik undi golongan muda. 

Perkembangan media sosial yang semakin pesat khususnya di platform Tik Tok, Twitter dan Facebook memudahkan pengundi khususnya mengikut perkembangan politik semasa negara sekali gus menjadi rujukan membuat pilihan.

Namun golongan pengundi berusia dari 18 hingga 29 tahun yang mewakili 30% pengundi muda memiliki selera berlainan dengan pengundi senior.

Diharapkan ramai pengundi berusia 18 tahun ke atas bakal turun mengundi dan tidak sabar menanti calon yang diketengahkan. 

Ramai mahu lihat siapa calon yang bertanding dan menekankan calon berbanding faktor parti mana.

Calon yang diberi fokus berbeza mengikut faktor demografi dan geografi untuk memudahkan. 

Penduduk luar bandar dan kumpulan pertengahan mahukan calon yang boleh ditemui di acara kenduri, kematian, aktiviti gotong royong, pesta dan sukan.

Jauh berbeza dengan pengundi di kawasan kota yang lebih memberi penekanan kepada parti dan isu setempat yang mampu diselesaikan dengan sewajarnya.

Calon berwibawa dan tepat perlu dipilih bagi menarik hati pengundi untuk bersaing menghadapi strategi parti yang akan meletakkan calon di kawasan ‘panas’ untuk meraih undi popular.

Namun bagi saya lebih mementingkan calon yang akan mewakili dan bekerja bekerja untuk pengundi. 

Kebiasaannya dilabelkan sebagai pengundi atas pagar dan bukan ahli mana-mana parti. 

Selalunya di tangan merekalah sebenarnya kemenangan ditentukan dan pasti maklum tentang kepentingan undi dari golongan atas pagar.

Sememangnya kriteria calon menjadi pertimbangan saya ketika membuat pilihan. 

Saya ketepikan soal parti kerana yang akan bekerja selepas pilihanraya nanti adalah calon. Apalagi parti itu rasuah, korup tetapi calonnya kelihatan bersih.

Pemimpin politik yang mempunyai personaliti dan keperibadian disenangi rakyat disifatkan lebih mempunyai kelebihan. 

Kedudukan seseorang politikus mengikut personaliti sangat mustahak untuk diambil kira dalam menyumbang kepada kemenangan. 

Apatah lagi generasi baharu sekarang lebih memilih kepada kualiti seseorang politikus.

Kebanyakan pengundi dilihat sudah mula berpendirian bahawa faktor individu iaitu siapa calon yang harus dipilih lebih penting berbanding parti yang dipilih pada pergolakan politik kerana parti politik kini dilihat amat mudah melupakan janji dibuat ketika pilihan raya dan perlembagaan mereka.

Bukan hanya mahu calon tempatan yang tidak semestinya dapat memberi khidmat yang terbaik. 

Mentaliti sebahagian besar rakyat berpendapat calon tempatan akan dapat memberikan perkhidmatan terbaik adalah pandangan tidak tepat sama sekali.

Saya bukan mahu menidakkan kepentingan parti kerana institusi itu juga berperanan penting khususnya dalam menggerakkan jentera yang selalunya memerlukan perbelanjaan besar. 

Tanpa kewangan kukuh daripada parti, tidak boleh melakukan gerak kerja dan sebab itu parti yang kukuh kewangan selalunya menang.

Saya memilih calon wakil rakyat yang taat setia kepada negara, mempertahan kedaulatan undang-undang dan bersikap saksama sesama rakyat. 

Juga mempertahankan negara daripada ancaman luar dan tidak akan melakukan tindakan membahayakan reputasi negara.

Calon mempunyai pengetahuan mendalam mengenai latar belakang sejarah, sosial, ekonomi dan budaya masyarakat setempat. Tindak-tanduk calon akan menggambarkan kefahaman kepada negara secara menyeluruh.

Saya juga mahu calon tidak berfahaman sempit dan mengangkat kepentingan kaum, sama ada berteraskan politik, etnik, agama dan kenegerian. 

Masyarakat diwakili calon bukan hanya terbatas pergerakan di sesuatu kawasan, namun calon akan berinteraksi dengan seluruh warga, sama ada secara bersemuka di alam maya atau lahiriah.

Kalau terdapat calon secara ekstrem dan tidak wajar menggunakan unsur sensitif, bersifat hasutan, fitnah dan membangkitkan kebencian, perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat, kesesuaian calon untuk dipilih perlu diteliti semula.

Calon berkemungkinan besar tidak sesuai menjadi wakil rakyat kerana wakil rakyat boleh memperoleh maklumat yang kalau disalah guna boleh mengancam keselamatan. 

Calon perlu menyimpan rahsia sebagaimana ikrar yang diangkat sebelum menjalankan tugas.

Calon perlulah patuh dan faham undang-undang kerana bakal menduduki dewan menggubal undang-undang yang menegakkan kedaulatan undang-undang dengan kepatuhan. 

Calon tidak menggunakan undang-undang untuk kepentingan diri dalam tujuan mengekalkan kuasa dan mengumpul kekayaan. 

Kalau calon tidak disabitkan di mahkamah tetapi terdapat kelakuan menimbulkan keraguan keupayaan untuk menghormati dan mempertahankan undang-undang, perlembagaan, penelitian perlu dibuat terhadap kesesuaian seseorang calon.

Saya bersetuju yang faktor umur perlu diberi perhatian kerana berkaitan kematangan dan bukan sekadar angka yang menampakkan kekosongan. 

Calon perlulah baik pendidikan sama ada formal atau tidak formal dan bukan hanya SPM dengan ijazah palsu.

Kematangan mustahak agar setiap permasalahan setempat diteliti dan dinilai dengan bijaksana dan wajar.

Calon yang luas pengalaman dalam pergaulan masyarakat, dihormati warga dan mempunyai ilmu bersesuaian memerlukan umur yang melebihi 30-an.

Bagi saya calon haruslah mempunyai rekod pencapaian akademik terbukti dan menyerlah dengan luas pengalaman, faham keadaan penduduk di kawasannya, prihatin, mampu memberi layanan sama rata dan adil.

Sememangnya usahawan berjaya, pemimpin belia, guru yang mampan, aktivis sosial yang aktif adalah individu wajar diangkat menjadi calon. 

Dengan tindakan dan keputusan yang diambil parti perlu menggambarkan ketajaman fikiran dan ketelitian calon. 

Apalagi sesuai dengan suasana dan masa yang tidak bersifat eksklusif dan berpihak mahupun dipengaruhi pihak lain yang berkepentingan.

Walau bagaimanapun ramai rakyat sudah terasa dan mereka melihat siapa yang mewakili parti itu, sahsiahya dan keterampilan seseorang diambil kira.

Memilih calon yang terbaik akan memaksa sesebuah parti mengutamakan calon yang dikehendaki rakyat bukan atas dasar senioriti dengan kehendak warlord politik. 

Tanggungjawab memilih calon terletak kepada kita sebagai rakyat Malaysia yang ingin melihat perubahan dalam politik semasa! – 9 November, 2022.

* Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 31 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia,11 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel Berita Harian, Hadiah Cerpen Selangor, Terengganu, Johor dan lain . Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar serta pengarah e-Dompet Nigeria dan penerbitan sendiri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen