Landskap politik sudah berubah, kestabilan bukan lagi alasan


SOAL  ketidakstabilan politik tidak harus dijadikan alasan untuk pembubaran Parlimen yang dianggap terlalu “segera” walaupun parti-parti politik kerajaan campuran seperti Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mewakili segmen komuniti menyuarakan pendapat masing-masing agar pembubaran Parlimen dibuat pada tahun hadapan.

Hampir kesemua pihak menekankan isu banjir berdasarkan pengalaman pahit tahun lalu kerana impak yang terlalu tinggi.

Keputusan solo membubarkan Parlimen jelas mengambarkan Umno masih mengamalkan sikap “dominan one political party system” yang mana trend ini lama terkubur sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Politik Malaysia hari ini adalah satu pembentukan kerajaan campuran yang mana memerlukan adaptasi kesesuaian, kesederhanaan di dalam membuat keputusan secara konsensus.

Ruang harus diberikan kepada semua parti politik kerajaan campuran untuk didengari dan dipertimbangkan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan rakyat marhaen.

Landskap politik Malaysia hari ini sudah banyak berubah. Sudah pasti selepas ini agak sukar bagi Barisan Nasional (BN) merangkul kemenangan majoriti seperti 60 tahun lalu berikutan perubahan segmen politik negara yang terlalu drastik, walaupun hendak dinilai dengan peratusan pengeluaran undi yang rendah.

Sekiranya dinilai sebegitu, sudah pasti akan berlaku satu gelombang penolakan besar pengundi blok “atas pagar”.

Politik hari ini mengetengahkan kewujudan parti-parti baru dan jaringan gabungan parti politik.

Agak jelas Malaysia sedang meniti ke arah budaya politik baru iaitu kerajaan campuran – sistem tiga atau empat parti politik – seperti yang terbentuk hari ini.

Adakah masih soal ketidakstabilan politik akan diungkit lagi sekiranya tiada persefahaman di kalangan ahli Kabinet pada masa hadapan?

Apabila konsensus ini tidak boleh dibawa sepakat di peringkat Kabinet, jangan diungkitkan sekali lagi soal tiada kestabilan politik.

Alasan ketidakstabilan politik dan ekonomi inilah yang digunakan tahun lalu untuk memberikan tekanan politik kepada Muhyiddin Yassin untuk meletakan jawatan sebagai perdana menteri walhal pada ketika itu program vaksinasi negara sedang dalam proses mencapai 100% vaksinasi penuh Oktober 2021 dan permulaan pelaksanaan program Pelan Pemulihan Negara.  

Dalam tempoh setahun selepas kerajaan persekutuan dibentuk pada Ogos 2021 dengab gabungan kerajaan campuran BN, PN dan GPS, alasan ini juga digunakan hari ini ntuk membubarkan Parlimen.

Punca sebenar pembubaran Parlimen adalah rentetan beberapa siri perjumpaan khas lima pemimpin tertinggi Umno dan tekanan presidennya kepada perdana menteri untuk mengadakan PRU15 di musim tengkujuh, sebaliknya digunakan alasan 12 menteri dikatakan menggugat keharmonian Kabinet dan kestabilan politik negara.

Mungkin agenda “kestabilan politik” ini digunakan sebagai satu taktik untuk mempengaruhi pengundi.

Ia mungkin berkesan di kawasan luar bandar kerana mereka mengundi berdasarkan perkembangan yang mereka lihat.

Tetapi bagi kelas pertengahan yang mengamati perkembangan politik negara ini satu taktik yang agak sukar untuk mempengaruhi mereka.

Sekiranya mengamalkan budaya politik lama, sudah pasti rakyat akan jemu terhadap perjalanan politik negara. Inilah punca mengapa peratusan pengundi atas pagar tidak keluar mengundi.

Soal tiada kestabilan politik telah diungkit sekian lama, dan konotasi ini tidak boleh dipakai lagi kerana label kerajaan gagal dan kerajaan pintu belakang inilah digunakan untuk perubahan pucuk pimpinan pada tahun lalu 2021.

Sekiranya masih menggunakan alasan ini, ia adalah satu langkah yang tidak bijak. – 13 Oktober 2022.

* Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, penganalisis politik.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen