PRU15: Politik Melayu punca tiada yang menang 112 kerusi


Ruhan Shahrir

Kali ini pada PRU15, buat pertama kalinya, banyak badan penyelidik dan penganalisis politik meramalkan Parlimen Malaysia akan tergantung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 November, 2022.

BELUM ada parti atau gabungan parti yang mampu melintasi garis penentu kuasa politik negara, 112 – mengikut banyak badan penyelidik yang meneliti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Ya, itulah nombor yang diberahikan oleh politikus Malaysia. 

Nombor yang akan menentukan siapakah yang akan diberikan mandat untuk mengagih-agihkan sumber-sumber yang ada dalam negara kita pasca-PRU15 nanti. 

Nombor yang akan memberikan kuasa besar kepada pemenangnya untuk menentukan siapa dapat apa, sebanyak mana, bila dan bagaimana. 

Namun setakat ini, 112 yang diberahikan itu masih samar siapa atau gabungan politik manakah yang akan berjaya melintasi nombor keramat itu. 

Setakat tulisan ini ditulis, hampir semua pengkaji politik dan institut penyelidikan meramalkan tiada parti atau gabungan parti yang mampu untuk meraih nombor penentu tersebut. 

Justeru, kebarangkalian Parlimen Malaysia akan tergantung selepas 19 November 2022 nanti adalah sangat besar. Suatu fenomena yang pertama kali berlaku dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Sebahagian besar puncanya adalah politik Melayu. 

Malaysia dan Melayu tidak dapat dipisahkan. Ini bukanlah untuk mengatakan komuniti lain tidak penting. Komuniti lain juga turut menyumbang tenaga, keringat, masa dan usaha untuk sama-sama membangunkan Malaysia. 

Namun proses sejarah yang dilalui khususnya sejarah pemerintahan kolonial, meletakkan politik Melayu sebagai teras dalam perjalanan negara moden Malaysia pada hari ini. 

Bergoncang politik Melayu, maka bergoncang jugalah politik Malaysia.

Peristiwa 13 Mei 1969, Gerakan Mahasiswa 1970an, Operasi Lalang 1987, Reformasi 1998, kekalahan Umno pada PRU 2018 – kesemua peristiwa besar ini kalau diselidiki dengan lebih cermat akan membawa kita kepada salah satu punca utamanya adalah diakibatkan oleh krisis kepimpinan yang melanda politik Melayu. 

Lebih tepat lagi krisis kepimpinan yang melanda tubuh parti politik terbesar bangsa Melayu, Umno, yang juga merupakan parti paling dominan dalam kerajaan Malaysia pada waktu-waktu tersebut. 

Namun, peristiwa-peristiwa itu tidaklah sampai menjadikan keputusan pilihan raya umum tergantung. Hatta, dalam PRU3 pada 1969 sekali pun, keputusannya tidak menyebabkan Parlimen tergantung.

Parti Perikatan (sebelum dijenamakan sebagai BN) pada waktu itu, berjaya memperolehi 67 kerusi, hanya kurang satu kerusi sahaja untuk mencapai majoriti 2/3 Parlimen (68 kerusi). 

Namun, akibat rusuhan etnik yang berlaku kemudiannya, darurat diisytiharkan dan negara diletakkan bawah pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sehingga 1971.

Pengundi berbaris di luar pusat mengundi di SK Klang Gate Baru, Kuala Lumpur untuk PRU15, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 November, 2022.

Kali ini pada PRU15, buat pertama kalinya, banyak badan penyelidik dan penganalisis politik meramalkan Parlimen Malaysia akan tergantung. Saya sendiri cenderung untuk bersetuju dengan ramalan tersebut. 

Dalam konteks undang-undang anti-lompat parti yang telah pun berkuatkuasa setelah diluluskan oleh parlimen pada sidang terakhirnya sebelum dibubarkan tempohari, penubuhan kerajaan pasca-PRU15 akan menjadi suatu usaha yang cukup mencabar jika sekiranya tiada satu pun parti atau gabungan parti yang berjaya mendapat majoriti mudah (112 kerusi).

Apabila risiko lompat parti dikurangkan menerusi undang-undang tersebut, yang nama rasminya ialah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022, apa yang akan berlaku ialah parti-parti yang berkepentingan, tidak lagi boleh memancing individu tetapi perlu menjala keseluruhan blok parti atau gabungan parti politik lain untuk menubuhkan kerajaan bersama. 

Ini akan menjadikan usaha untuk membentuk kerajaan baru bukan sahaja semakin sengit, tetapi juga bertambah rumit.

Rundingan dan tawar-menawar pasti akan giat berlaku dengan faktor etnik, agama dan siapa perdana menteri, akan menjadi antara pertimbangan-pertimbangan penting di dalam menubuhkan kerajaan baru itu nanti.

Punca kerumitan itu sebahagian besarnya adalah kerana krisis kepimpinan yang berlaku di dalam politik Melayu. 

Tetapi politik Melayu tidak boleh dilihat secara kaku dan beku. Terdapat lapisan-lapisan kompleks yang membentuknya dengan dinamika dalamannya yang juga rencam hasil daripada proses sejarah yang dilaluinya. 

Salah satu sifat politik Melayu adalah ia tidak tunggal. Di dalamnya terdapat pelbagai jalur pemikiran politik. Teras kepada pemikiran politik Melayu adalah faham nasionalisme Melayu. 

Tapi seperti yang saya jelaskan dalam tulisan sebelumnya, nasionalisme Melayu juga tidak tunggal, sebaliknya rencam dengan tiga jalur pemikiran yang berbeza, sungguhpun ketiga-tiga jalur ini akhirnya bertemu di titik yang sama yakni cita-cita untuk mendirikan sebuah negara yang beridentiti, berkeperibadian dan berkepimpinan Melayu.

Namun, daripada sejarah juga kita akan menemukan dalam pertembungan tiga jalur nasionalisme Melayu itu, pemenangnya (dengan dukungan pemerintah kolonial British) adalah Umno. 

Menerusi kuasa dan penguasaan ke atas aparatus negara – misalnya sekolah, universiti, lembaga-lembaga kerajaan, media massa yang dikuasainya – Umno secara umumnya berjaya menunggalkan politik Melayu dengan menginstitusikan dirinya sebagai satu-satunya “penaung dan pelindung” kepada masyarakat Melayu. 

Kerana itu tidaklah menghairankan setelah trauma rusuhan etnik 13 Mei 1969, dari PRU4 pada 1974 sehinggalah PRU11 pada 2004, Umno tidak pernah kehilangan 2/3 kerusi Parlimen.

Maknanya selama lebih 30 tahun Umno mendominasi Parlimen Malaysia tanpa sebarang saingan sengit.

Hanya pada PRU12 pada 2008 sahaja barulah penguasaan 2/3 Umno di Dewan Rakyat berjaya dinafikan oleh gabungan parti-parti pembangkang. 

Sejak itu, tiada lagi parti atau gabungan parti yang berhasil menguasai 2/3 kerusi Parlimen. 

Pada hemat saya, PRU15 kali ini juga tidak akan mengubah keadaan tersebut.

Malahan dengan berlakunya perpecahan politik Melayu, keadaan politik Malaysia bukan hanya akan menjadi bertambah rumit tetapi semakin dinamik, khususnya dalam tubuh politik Melayu.

Ismail Sabri Yaakob dan isteri selesai mengundi di SMK Bandar Kerayong di Bera hari ini. – Gambar AFP, 19 November, 2022.

Anjakan besar politik Melayu

Yang tersirat daripada pernyataan di atas ialah sedang berlaku satu anjakan besar dalam politik Melayu.

Ke mana arahnya – inklusif atau eksklusif, merangkum atau menyisih, sederhana atau ekstrem, kiri, tengah atau kanan  – masih belum dapat dipastikan lagi. 

Yang pasti tenaga-tenaga yang rencam dan pelbagai dalam tubuh politik Melayu sedang bergelut mencari arahnya di fasa-fasa transisi yang cukup dinamik pada hari ini. 

Keadaan ini pada pandangan saya adalah suatu proses yang menyegarkan dan tak perlu digusarkan. 

Ia menunjukkan politik Melayu tidak kaku tapi dinamik. Ia menandakan politik Melayu sedang menjalani suatu proses penyegaran semula mengenai wujudiah dan kedudukan dirinya di dalam negara moden Malaysia pada hari ini. 

Ia membuka ruang buat pemikir, penulis, penggerak, pemimpin dan masyarakat Melayu sendiri untuk melakukan suatu cerminan diri tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka sebagai komuniti yang menjadi teras kepada negara Malaysia yang majmuk.

Dasar ekonomi baru

Anjakan yang sedang berlaku dalam tubuh politik Melayu pada hari ini sebahagian besarnya adalah kerana perubahan-perubahan yang berlaku di tingkat struktural masyarakat, khususnya kesan daripada suatu projek rekayasa sosial atau social engineering yang terbesar di dunia pada abad yang lepas, yakni Dasar Ekonomi Baru (DEB).  

DEB adalah suatu bentuk rekayasa sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan BN pada 1971 setelah berlakunya rusuhan etnik 13 Mei 1969. 

Jika diteliti, ia adalah suatu bentuk campur tangan negara untuk memperbetulkan kembali kesenjangan ekonomi yang berlaku di dalam masyarakat khususnya antara komuniti Bumiputera dan bukan Bumiputera akibat daripada dasar-dasar pemerintahan kolonial British terdahulu.

Matlamatnya yang lebih besar adalah perpaduan kebangsaan. 

Dari satu sudut, perpaduan kebangsaan yang menjadi matlamat induk kepada DEB ini sedikit sebanyak sedang di dalam proses mencari bentuknya yang lebih utuh. 

Di ruang politik, ia terjelma menerusi kemunculan wadah-wadah politik pelbagai etnik dan agama yang dipimpin oleh Melayu, misalnya PKR dan Muda. 

Fenomena kemunculan parti-parti politik pimpinan Melayu tapi merangkum pelbagai-etnik dan agama ini, pada pandangan saya, sebahagiannya adalah kesan tidak langsung yang lahir daripada projek rekayasa sosial DEB untuk menyusun semula masyarakat Malaysia. 

Penyusunan semula di tingkat struktural ini melibatkan usaha-usaha tindakan afirmatif yang memberi ruang dan peluang lebih besar kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera lainnya pada waktu itu yang sebahagian besarnya tertinggal dan berada di kedudukan terkebelakang khususnya dalam bidang pendidikan serta ekonomi. 

Selari dengan peluang pendidikan dan ekonomi, proses membandarkan orang Melayu yang majoritinya tinggal di kampung-kampung, giat dijalankan menerusi kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi yang terletak di bandar-bandar besar, pengambilan mereka sebagai buruh industri perkilangan yang rata-ratanya juga berlokasi di bandar-bandar, penyerapan mereka ke dalam jabatan-jabatan perkhidmatan awam yang sebahagiannya terletak di kawasan-kawasan bandar, serta pemberian kepada mereka peluang-peluang perniagaan yang juga banyak tertumpu di bandar-bandar.

Rekayasa sosial inilah yang tiga puluh tahun kemudiannya telah meramaikan jumlah orang Melayu di bandar-bandar besar, meningkatkan mobiliti sosial mereka daripada kelas petani ke kelas menengah sektor swasta dan kelas birokrat sektor kerajaan yang seterusnya telah memperbesarkan jumlah kelas menengah Melayu di Malaysia. 

Kesan daripada proses pembandaran, penguniversitian, peningkatan mobiliti sosial dan pembesaran kelas menengah Melayu adalah kelahiran lebih ramai cerdik-pandai, cendekiawan dan inteligensia Melayu. 

Sebahagian mereka mempunyai pemikiran dan faham hidup yang berbeza daripada atok-nenek dan ayah-ibu mereka di kampung. 

Namun, tidak dinafikan rekayasa sosial menerusi DEB ini juga turut melahirkan mentaliti “tongkat” yang sukar untuk dilepaskan oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu.

Justeru, tidak berlebihan kalau dikatakan DEB adalah suatu projek rekayasa sosial yang natijahnya menghasilkan pisau dua mata. 

Pada satu sisi, ia mencipta kebergantungan kepada kerajaan. Namun, pada satu sisi lain, ia mencipta kemandirian daripada kerajaan. 

Kelas mandiri

Kelas mandiri Melayu inilah pada hemat saya yang menjadi pemicu kepada perubahan pemikiran di dalam politik Melayu.

Mandiri di dalam konteks ini bukan hanya bermaksud mandiri daripada sudut ekonominya tetapi juga mandiri idea dan pemikirannya. 

Memandang ia mandiri, maka ia tidak lagi perlu bergantung kepada Umno yang sebelum ini berjaya memposisikan dirinya sebagai satu-satunya “penaung dan pelindung” kepada masyarakat Melayu. 

Kemunculan kelas mandiri Melayu yang sebahagian besarnya adalah hasil tidak langsung daripada projek rekayasa sosial DEB, menjadikan lapisan-lapisan rencam yang ada dalam tubuh politik Melayu semakin rumit untuk dirungkaikan.

Justeru itu, PRU15 yang diramal akan berkesudahan dengan tergantungnya Parlimen tanpa ada satu gabungan parti pun yang berjaya melintasi nombor keramat 112, adalah cerminan kepada suatu pergolakan pemikiran dan idea yang sedang dialami oleh tubuh politik Melayu. Ke mana arahnya, belum pasti. 

Namun, pergolakan yang berlaku itu adalah suatu bentuk penyegaran semula politik Melayu yang turut sama membuka ruang dan peluang untuknya merembah jalan baru setelah lebih daripada separuh abad didominasi oleh Umno.

Apakah akan terembah jalan baru atau kembali ke jalan lama, politik Melayu berhadapan dengan suatu simpang-siur yang rencam, rumit dan di luar kawalannya pada kali ini. 

PRU15 takkan memberikan jawapan jalan mana yang akan dipilih kerana ianya terlalu samar. Kemungkinan jawapannya bukan pada PRU15 tapi pasca-PRU15. 

Kemungkinan juga jawapannya tidak ada di Semenanjung tapi di Sarawak! – 19 November, 2022. 

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen