Jangan percaya kaji selidik politik, kata Zahid


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mendakwa badan penyelidik yang membuat kaji selidik politik "mesra dengan pemimpin atau wakil pemimpin tertentu". – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat supaya “jangan percaya bulat-bulat” kaji selidik politik, ketika ada kajian yang menunjukkan sokongan pengundi pada masa ini tidak begitu memihak kepada gabungan itu.

Ahmad Zahid tidak menamakan badan penyelidik yang beliau maksudkan tetapi mendakwanya “mesra dengan pemimpin atau wakil pemimpin tertentu”.

“Baru-baru ini pelbagai survei diumumkan oleh pelbagai pihak berkenaan sentimen pengundi semasa berkenaan bakal keputusan pilihan raya umum ke-15.

“Namun dapatan survei seumpama ini janganlah dipercayai bulat-bulat oleh rakyat. 

“Hal ini kerana terdapat pengelola survei yang rapat dengan sesebuah parti politik tertentu, terdapat juga survei walaupun  luaran tidak rapat dengan parti tertentu, namun ada mesra dengan pemimpin atau wakil pemimpin tertentu,” tulisnya di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid juga mempertikaikan kaedah kajian badan penyelidikan yang tidak dinamakannya itu.

Jumaat lepas, Merdeka Centre yang membentangkan kajiannya di sebuah forum dalam talian merumuskan Perikatan Nasional (PN) mendapat lebih sokongan Melayu berbanding BN dan Pakatan Harapan (PH).

Kajian setakat minggu lalu menunjukkan PN mendapat sokongan 35% pengundi Melayu manakala BN 28%.

Kajian Merdeka Centre dijalankan berterusan sejak sebelum penamaan calon dan melibatkan lebih 1,000 responden yang mewakili demografi pengundi Semenanjung Malaysia.

Dalam reaksi awal sehari selepas laporan media mengenai forum dalam talian itu, Ahmad Zahid menegaskan BN tidak terjejas dengan laporan kajian tersebut.

Kajian beberapa badan penyelidik menjelang hari pengundian 19 November ini membayangkan tiada mana-mana gabungan boleh meraih lebih 112 kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Sementara itu, Ahmad Zahid berpendapat PN yang diketuai Muhyiddin Yassin hendak menang 25 kerusi pun susah sebaliknya cuba bermain perang psikologi di media sosial seolah-olah boleh menang banyak kerusi.

“Semoga ahli BN tidak terpengaruh dakyah palsu musuh BN yang cuba pelbagai cara untuk memperkecilkan impak BN terhadap pilihan raya umum kali ini,” katanya. – 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen