Cabaran kekalkan ‘tuah’ kerajaan perpaduan, majoriti dua pertiga


G Manimaran

DALAM tempoh 112 jam selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung Sabtu lalu, Anwar Ibrahim diumumkan sebagai perdana menteri yang ke-10 Malaysia kelmarin.

Pengumuman itu mengakhiri penantian beliau lebih dua dekad untuk melangkah sebagai perdana menteri. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berjaya membuktikan pihaknya sudah memiliki majoriti minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan iaitu 112 kerusi di Dewan Rakyat. 

Sekiranya tidak Pakatan Harapan (PH) perlu bergerak sebagai sebuah kerajaan minoriti. 

Meskipun tiada peruntukan sedemikian dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi tiada pilihan sekiranya kerajaan minoriti terpaksa diwujudkan.

Bagaimanapun pada hari ini keadaan itu sudah tidak perlu.

Atas kertas kerajaan perpaduan yang dibentuk susulan titah Yang di-Pertuan Agong, PH mempunyai 147 kerusi, kurang satu untuk memiliki majoriti dua pertiga. 

Pada 7 Disember ini akan ada pilihan raya bagi kerusi Padang Serai di Kedah yang ditangguhkan ekoran kematian calon PH pada Rabu lalu, empat hari sebelum hari pengundian sebenar PRU15.

Memiliki kerusi dua pertiga – angka magis – merupakan idaman setiap parti yang diberi mandat menerusi pilihan raya yang dilangsungkan. 

Keistimewaan itu pernah dinikmati oleh Parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN), yang dibentuk untuk menggantikan Perikatan, sehingga tahun 2008. 

Perikatan dan BN merupakan satu-satunya gabungan yang telah menikmati status itu. 

Sebelum itu Perikatan pernah gagal sekali untuk mempertahankan status majoriti dua pertiga iaitu pada tahun 1969 yang disusuli dengan peristiwa 13 Mei. 

Susulan prestasi buruk itu BN dibentuk sebagai gabungan yang lebih terbesar sehingga membawa 14 komponen runtuh empat tahun lalu berikutan prestasi terburuk dalam sejarah pilihan raya. 

Kini BN hanya tinggal empat buah parti. PAS, musuh tradisi Perikatan-BN, pernah menganggotai gabungan itu kurang satu penggal antara tahun 1973-1977.

PH menghampiri status itu menerusi pembentukan sebuah kerajaan perpaduan. 

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perpaduan pimpinannya mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan “terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).” 

Bercakap pada sidang media pada hari pertama memasuki Pejabat Perdana Menteri, yang pertama selaku orang nombor satu kerajaan pusat kata Anwar, “ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat.”

Kedudukan majoriti tidak diperoleh oleh PH pada tahun 2018 ketika PRU14, meskipun telah berupaya mengatasi BN sebagai kerajaan pusat. 

Susulan sokongan parti-parti dari Sabah ketika, ia hanya memiliki sedikit lebih daripada tangga 112. 

Dan apabila negara digegarkan dengan peristiwa Langkah Sheraton, kerajaan dibentuk oleh PH dengan dokongan beberapa parti akhirnya runtuh pada penghujung Februari 2020 iaitu 22 bulan selepas diberikan mandat oleh rakyat yang membawa kepada perubahan kepimpinan kerajaan pusat. 

Pada tahun 2018 kerajaan dapat dibentuk dalam tempoh 30 jam selepas pengundian yang berlangsung pada 9 Mei 2018, meskipun tempoh itu tetap dianggap sebagai sudah terlalu panjang. Kali ini tempoh ke aras itu melepasi 100 jam.

Pun begitu peralihan pembentukan kerajaan berjalan dengan lancar dengan melibatkan sidang khas Majlis Raja-raja.

Mengambil kira perkembangan-perkembangan lalu sudah tentu kedudukan kerusi 147 akan menjadi satu aset yang penting bagi kerajaan perpaduan yang dibentuk dan disaksikan sekarang. 

Akhirnya PH yang menguasai sebanyak 82 kerusi kini mendapat sokongan BN yang menawarkan sebanyak 30 kerusi, GPS (23), GRS (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (satu). 

Rabu lalu sejurus selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menegaskan pihaknya tidak akan membentuk kerajaan perpaduan bersama. 

Dalam kenyataan akhbar ketiga semalam PN mengulangi bahawa ia tidak berminat untuk menyertai pentadbiran Anwar. 

Bagaimanapun Muhyiddin berkata ia bersedia untuk melihat jalan kerjasama lain. Kenyataan itu memberi bayangan PN kemungkinan mengadakan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA). 

GPS dan GRS sebelum ini dilaporkan memutuskan untuk menyokong kerajaan dibentuk PN.

Sah, kita sudah ada kerajaan perpaduan dengan majoriti dua pertiga.

Cabaran pertama Anwar selaku perdana menteri ke-10 sudah tentulah mempertahankan kerajaan perpaduan sehingga ke akhir mandat Parlimen ke-15. 

Pada sidang media pertama sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelmarin Anwar yang pernah menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990-an memberi bayangan akan ada dua jawatan timbalan perdana menteri dengan masing-masing diberikan kepada ahli Parlimen BN dan GPS. 

Beliau mengambil pendirian itu memandangkan kedua-dua parti terbabit merupakan gabungan utama dalam kerajaan perpaduan pimpinannya. 

“Ini melibatkan kerajaan perpaduan… bagi ruang untuk kami berbincang dulu. Jawatan timbalan perdana menteri biasanya daripada komponen kuat yang lain (selain PH) setakat ini dari BN.” Tambah beliau: “Dan Sabah, Sarawak… komponen terkuat Sabah dan Sarawak ialah GPS. 

Perdana Menteri kedua dari Pulau Pinang dan yang pertama selaku wakil rakyat kerusi Tambun, Perak menjelaskan bahawa kerajaan pimpinan perpaduan itu dianggotai BN, GPS sebagai tujang serta Warisan, PBM dan Muda.

Mandat terbaharu ini perlu dipertahan dan dikekalkan untuk melaksanakan dasar dan program berorientasikan rakyat. 

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar perlu mendakap kesemua pihak dalam kerajaannya. 

Selaku perdana menteri bagi seluruh rakyat kerajaan pimpinannya mempunyai tugas dan tanggungjawab yang teramat besar. 

Begitu juga parti-parti dalam kerajaan perpaduan dua pertiga majoriti pada hari ini.

Bukan mudah untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan. Sebenarnya, ia  idea kerajaan perpaduan sudah lama diperkatakan, sejak tahun 2009, iaitu sejak selepas PRU tahun 2008. 

Ketika itu idea kerajaan perpaduan dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan negatif terutama di peringkat kerajaan negeri.

Hari ini kita tiada pilihan. Kerajaan perpaduan perlu dibentuk. Dan di peringkat pusat kerajaan perpaduan telah pun dibentuk. 

Justeru itu ia perlu direalisasikan demi kesejahteraan semua pemegang taruh. – 26 November, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen