Tiada keperluan mendesak untuk rombakan Kabinet, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tidak ada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet kerana hanya ada satu kekosongan jawatan yang perlu diisi. – Gambar EPA, 29 September, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata tidak ada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet kerana hanya ada satu kekosongan jawatan yang perlu diisi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berbincang mengenai cadangan rombakan Kabinet dalam pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya ada pertemuan mingguan yang biasa dilakukannya dengan Seri Paduka. Berkenaan perkara itu (rombakan Kabinet) mungkin. Tetapi tidak ada keperluan mendesak pun sebab yang kosong cuma satu,” katanya.

Ketika ini jawatan yang perlu diisi adalah menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup susulan pemergian penyandangnya, allahyarham Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Anwar juga berkata ada kebimbangan berkenaan kenaikan harga barangan, yang bakal menjejaskan perbelanjaan rakyat.

“Kita sedang berdepan masalah harga barang. Beberapa negara turut berdepan ketegangan sosial akibat sekatan terhadap beras dan kenaikan cukai eksport; contohnya bawang.

“Semua ini ada kesan ekonomi dan kami sedang cuba menanganinya,” katanya. – 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen