Wan Rosdy nafi bakal anggotai Kabinet


Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata desas-desus beliau akan dilantik menganggotai Kabinet hanya khabar angin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2023.

MENTERI Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menafikan desas-desus beliau akan dilantik menganggotai Jemaah Menteri Persekutuan dalam rombakan Kabinet.

Naib presiden Umno itu berkata ia hanya khabar angin, dan beliau kini fokus untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

“Mana ada, khabar angin sahaja tu jangan dengar, bukan sahih pun. Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) pun kata akan dipertimbangkan (rombakan), sekarang saya cuma fokus menangkan BN di PRK Pelangai.

“Orang boleh tulis apa sahaja untuk tarik pembaca, tetapi saya fokus Pelangai kerana saya ni orang parti, bertanding dan jadi Menteri Besar pun sebab parti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat Daerah Bentong di Bentong hari ini.

Adun Jelai itu berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang mendakwa nama beliau, yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, akan dilantik sebagai menteri susulan rombakan Kabinet pada masa terdekat.

Anwar pada Rabu dilaporkan berkata beliau akan memikirkan terlebih dahulu berkaitan isu rombakan Kabinet.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun yang terkorban dalam satu nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan seorang calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni. – Bernama, 29 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen