Kontroversi kes senator MIC keluar parti di sisi undang-undang


G Manimaran

Tidak sampai dua minggu selepas digugurkan Sivarraajh Chandran memutuskan untuk keluar parti sekali gus menjadi anggota bebas Dewan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2023.

SIVARRAAJH Chandran satu nama tidak asing dalam landskap politik negara. Sepanjang lima tahun lalu nama beliau sering menjadi perhatian dalam pelbagai bentuk.

Beliau pada asalnya seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang kemudian hilang kelayakan susulan keputusan mahkamah pilihan raya.

Seterusnya beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi diminta memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) apabila pengundian yang ditangguhkan diadakan semula selepas kerajaan perpaduan dibentuk.

Kemudian beliau dilaporkan akan dilantik sebagai senator dan seterusnya sebagai timbalan menteri. 

Jawatan timbalan menteri tidak menjadi kenyataan, sebaliknya hanya sebagai senator mewakili MIC, komponen BN. BN sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Sekali lagi di sebalik tumpuan beralih kepada pilihan raya negeri (PRN) enam buah negeri, nama pemimpin muda ini menjadi perhatian. 

Ia menjadi lebih menarik ketika wujud desas-desus MIC tidak akan bertanding dalam PRN.

Jika benar ia akan menjadi sebahagian lipatan sejarah pilihan raya negara. Presiden MIC, SA Vigneswaran memutuskan untuk menggugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dua minggu lalu.

Beliau dilantik menganggotai CWC selepas pemilihan parti. Ketua penerangan MIC menegaskan presiden memutuskan untuk memecat beliau dan tidak perlu memberikan alasan mengapa beliau dipecat.

Tidak sampai dua minggu selepas digugurkan. Sivarraajh memutuskan untuk keluar parti sekali gus menjadi anggota bebas Dewan Negara.

Sudah lama wujud cakap-cakap mengenai hubungan antara Sivarraajh, presidennya dalam dalam MIC. Cuma masa yang mengesahkan perkembangan seterusnya.

Sivarraajh memberi alasan beliau memutuskan untuk keluar parti kerana terdapat sekatan yang dikenakan MIC terhadap dirinya dan mahu menjalankan tugas sebagai seorang ahli Dewan Negara tanpa sebarang halangan.

“Lebih baik saya keluar parti demi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Dewan Negara tanpa sebarang halangan atau sekatan daripada mana-mana pihak terutamanya kepimpinan MIC. Beberapa peristiwa berlaku di bawah pentadbiran Presiden MIC membuatkan saya membuat keputusan ini.”

Kontroversi melibatkan Sivarraajh dan MIC selaku komponen BN menarik untuk diperhatikan, daripada sudut kerangka perundangan semasa yang melarang tindakan keluar parti dan menyertai parti.

Keputusan dibuat Sivarraajh ini merupakan kes pertama ketika langkah menggubal peruntukan baharu genap satu tahun sejak Parlimen meluluskannya. 

Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang(RUU) berkaitan antilompat parti dengan majoriti dua pertiga undi.

RUU itu kemudian diluluskan di peringkat Dewan Negara dan dijadikan satu undang-undang yang dikuatkuasakan bermulai 5 Oktober. 

Peruntukan itu disediakan menerusi RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti. Setakat ini tujuh buah negeri turut telah mengambil langkah yang sama.

Berdasarkan semangat peruntukan semasa undang-undang antilompat parti hanya terpakai kepada wakil rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya. 

Bermakna ia terpakai kepada anggota Dewan Rakyat dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini selaras dengan keadaan keanggotaan wakil rakyat yang dipilih lazimnya akan menjadi penentu riwayat sesebuah kerajaan yang memerintah.

Dalam kedudukan Sivarraajh dan mana-mana anggota Dewan Negara atau Senat tidak menggugat kedudukan sesebuah kerajaan yang dibentuk. 

Pun begitu daripada segi amalan politik dan demokrasi, ia membawa signifikan penting.

Difahamkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai RUU Antilompat Parti pernah membincangkan elemen melibatkan kedudukan Senator atau ahli Dewan Negara, tetapi memutuskan untuk tidak memberi fokus buat masa sekarang.

Ini kerana kedudukan wakil rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya menjadi lebih keutamaan dalam mengekang perbuatan keluar parti dan menyertai parti lain. Dan, tidak ramai yang menjangkakan kes-kes seperti yang dilalui oleh Sivarraajh akan berlaku di peringkat Senat.

Ini satu keunikan yang disaksikan pada hari ini. Warna-warni politik Malaysia semakin menarik untuk diiikuti dengan dekat.

Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negara terbahagi kepada dua kategori iaitu seramai 26 ahli yang dipilih oleh DUN sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli) manakala 44 ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya. Berdasarkan statistik semasa terdapat 10 kekosongan yang belum diisi.

Dalam kes Sivarraajh beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri yang sudah pastinya mendapat sokongan MIC dan BN. 

Secara tradisi pendekatan itu yang menjadi amalan dalam mengisi kekosongan di Dewan Negara.

Sejauh mana seorang anggota Dewan Negara akan menyempurnakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai anggota Dewan Negara yang telah melalui proses atau protokol sebelum dilantik ke kedudukan tersebut.

Wujud dua senario dalam penentuan status seseorang ahli Dewan Negara. Senario pertama berkaitan dengan tindakan pemecatan oleh parti. Senario kedua keluar parti dan menyertai parti lain atau kekal bebas tanpa sebarang parti.

Situasi semasa melibatkan senario kedua, yang turut membawa kepada polemik dan kontroversi sama ada tergolong sebagai perbuatan keluar parti dan bertindak sebagai anggota bebas di Dewan Negara.

Turut menjadi persoalan, sama ada senator berkenaan boleh menyertai parti lain atas pilihannya dalam meneruskan fungsi beliau sebagai seorang ahli Parlimen.

Sivarraajh tidak menyertai mana-mana parti dan belum menyertai mana-mana parti.

Isu semasa juga melibatkan moral dan juga sebuah parti yang menamakan wakil mereka ke Dewan Negara.

Satu lagi isu yang perlu dirungkaikan dalam erti sempadan keluar parti dan menyertai parti lain di peringkat Senat. 

Adakah anggota Dewan Negara juga memerlukan sempadan dan had khusus seperti wakil rakyat dipilih? – 3 Julai, 2023.

* Dr G Manimaran merupakan penganalisis pilihan raya

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen