Pejabat Sultan Perak buat laporan polis


Sultan Perak Sultan Nazrin Shah tidak sama sekali memihak, dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2023.

PEJABAT Sultan Perak membuat laporan polis Sabtu lepas berhubung tindakan seorang wanita memuat naik satu klip video yang mengaitkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, dikatakan bagi tujuan meraih kepentingan politik. 

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Mohd Zahidi Zainuddin dalam kenyataan hari ini berkata perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika, malah secara tidak langsung mencemarkan nama baik baginda selaku Sultan yang memerintah negeri Perak.

Beliau berkata cara klip video itu diolah mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.

“Ditegaskan bahawa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak, dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik,” katanya dalam kenyataan di Ipoh.

Katanya video yang ditularkan itu merupakan petikan sebahagian kecil titah Sultan Nazrin (ketika itu pemangku Raja Perak) di Majlis Wacana Perpaduan Ummah bertemakan “Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 19 Februari 2013.

Zahidi berkata tindakan yang dilakukan itu dipercayai bertujuan mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos 2023.

Beliau berkata titah baginda itu sarat menghuraikan sejarah antara PAS dan Umno selain peringatan kepada kedua-dua parti untuk mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.

“Titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan. Bahagian yang memuji PAS hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap Umno.

“Baginda memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu itu dan turut menzahirkan peringatan agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara,” katanya. – Bernama, 31 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen