1.4 juta kanak-kanak Sudan Selatan kurang zat makanan


KIRA-KIRA 1.4 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami kekurangan zat makanan di Sudan Selatan, terperangkap dalam cengkaman banjir besar dan konflik antara kaum, kata badan amal Britain, Save the Children pada Jumaat.

Ia berkata negara termuda di dunia itu, yang mempunyai sebahagian besar penduduk luar bandar, mengalami krisis kelaparan terburuk sejak merdeka daripada Sudan pada 2011.

“Keadaan semakin teruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan lebih 615,000 orang terjejas akibat banjir besar yang tidak pernah berlaku selama empat tahun berturut-turut, memusnahkan rumah, tanaman,” kata Save the Children dalam satu kenyataan.

Kes malaria dan gigitan ular juga meningkat, katanya, dengan kanak-kanak dan wanita sangat terjejas.

Banjir ditambah dengan kitaran ganas konflik antara etnik yang sering membawa maut menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal, kata badan amal itu, menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak “meremehkan Sudan Selatan atau mengalihkan pembiayaan kepada krisis lain”.

Kira-kira 909,000 orang terjejas akibat banjir di sembilan daripada 10 negeri, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada Selasa.

Sudan Selatan, seperti kebanyakan negara di sub-Sahara Afrika, menderita akibat perang di Ukraine yang menyebabkan harga makanan dan bahan api global melonjak.

Nilai mata wang tempatan juga merosot hampir 40% tahun ini, kata Save the Children.

Program Makanan Sedunia PBB memberi amaran pada Mac lebih 70% daripada 11 juta penduduk Sudan Selatan akan menghadapi kebuluran melampau tahun ini kerana bencana alam dan keganasan.

Save the Children menyeru pemimpin yang merancang untuk menghadiri sidang kemuncak iklim COP27 November di Mesir agar meningkatkan pembiayaan bagi membantu komuniti dan kanak-kanak yang terjejas membina daya tahan terhadap bencana dan iklim.

“Generasi pertama kanak-kanak Sudan Selatan sedang membesar sekarang dan kita tidak boleh mengecewakan mereka dengan membenarkan Sudan Selatan menjadi krisis yang dilupakan,” kata pengarah negara Jib Rabiltossaporn.

Ia satu negara termiskin di planet ini walaupun mempunyai rizab minyak yang besar, Sudan Selatan terus mengalami krisis sejak kemerdekaan, menghabiskan hampir separuh daripada hayatnya sebagai negara yang berperang. – AFP, 14 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen