Bantuan makanan ke Sudan Selatan ditangguhkan kerana kurang dana


Sudan Selatan berdepan tahun paling sukar sejak negara itu merdeka pada 2011, dengan lebih 60% rakyatnya bergelut masalah kekurangan makanan. – Gambar EPA, 15 Jun, 2022.

PROGRAM Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa terpaksa menangguhkan bantuan makanan ke Sudan Selatan, berikutan kekurangan dana, lapor Agensi Anadolu.

Keputusan WFP itu akan meningkatkan risiko kebuluran bagi 1.7 juta orang, menurut kenyataan dikeluarkan di Juba, ibu negara Sudan Selatan.

Menurut pertubuhan kemanusiaan PBB itu, kira-kira AS$426 juta diperlukan bagi memenuhi keperluan 6 juta individu pada 2022.

Sudan Selatan berdepan “tahun paling sukar” sejak negara itu merdeka pada 2011, dengan lebih 60% rakyatnya bergelut masalah kekurangan makanan, dan keadaan diburukkan lagi dengan krisis di Ukraine serta kemarau berpanjangan.

“Keperluan kemanusiaan lebih banyak berbanding dana yang kami terima tahun ini.

“Jika hal ini berterusan, kita akan menghadapi masalah yang lebih besar pada masa hadapan, termasuk peningkatan kadar kematian, kekurangan zat makanan, masalah tumbesaran dan pelbagai penyakit,” kata pemangku pengarah WFP di Sudan Selatan, Adeyinka Badejo.

Menurut penilaian Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) terkini, 7.74 juta orang bakal berdepan krisis kelaparan dari Jun hingga Ogos, dan 1.4 juta kanak-kanak akan mengalami kekurangan zat makanan yang kritikal. – Bernama, 15 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen