32 maut dalam keganasan antara etnik di Sudan Selatan, kata PBB


Serangan maut ke atas dua kampung di kawasan bergolak, Jonglei pada 23 Januari menyebabkan orang awam melarikan diri ketika pemuda bersenjata daripada kumpulan etnik musuh melepaskan tembakan dan membakar harta benda. – Gambar EPA, 25 Januari, 2022.

SERAMAI 32 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh ketika serbuan bersenjata di wilayah Sudan Selatan yang dibelenggu keganasan antara etnik, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hari ini.

Serangan maut ke atas dua kampung di kawasan bergolak, Jonglei pada 23 Januari menyebabkan orang awam melarikan diri ketika pemuda bersenjata daripada kumpulan etnik musuh melepaskan tembakan dan membakar harta benda.

Menurut Misi PBB di Sudan Selatan (UNMISS), tiga kanak-kanak antara mangsa yang maut selepas lemas ketika cuba melarikan diri.

Sekurang-kurangnya 26 cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak manakala mangsa lain belum dapat dipastikan selepas berlaku pertumpahan darah di kawasan Baidit selama dua hari.

“UNMISS mengutuk sekeras-kerasnya sebarang serangan ke atas orang awam dan menggesa kumpulan dan individu untuk mengambil tindakan segera bagi mengelak lebih banyak keganasan yang akan membahayakan orang awam,” katanya.

“Misi turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan tepat pada masanya dan pelaku yang bertanggungjawab.”

Misi pengaman telah dikerahkan selama setahun pada 2011 apabila Sudan Selatan mencapai kemerdekaan, tetapi mandatnya ditangguhkan mengakibatkan negara itu menderita berikutan perang saudara dan tahap keganasan etnik yang tinggi.

Lebih 700 orang terbunuh manakala yang lain diperkosa serta diculik di Jonglei antara Januari dan Ogos 2020 dalam serbuan bersenjata oleh pengganas di timur negara itu.

Siasatan PBB mendapati elit politik dan tentera memainkan peranan dalam keganasan di mana pengganas memusnahkan kampung dalam serangan terkoordinasi ke atas pesaing mereka, menggunakan parang, mesingan dan kadangkala bom roket.

Duta khas PBB ke Sudan Selatan, Nicholas Haysom, memberitahu Majlis Keselamatan pada Disember bahawa jumlah korban awam akibat keganasan tempatan di seluruh negara berkurangan separuh pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Tetapi ketidakstabilan masih berleluasa, dan kerajaan gabungan selepas perang gagal menghentikan keganasan bersenjata atau menghukum mereka yang bertanggungjawab hampir dua tahun selepas mengambil alih kuasa di Juba. – AFP, 25 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen