Riek Machar dilantik semula naib presiden Sudan Selatan


pemimpin pembangkang Riek Machar akan dilantik semula sebagai Naib Presiden I Sudan Selatan. – Gambar AFP, 21 Februari, 2020.

PRESIDEN Sudan Selatan Salva Kiir pada Khamis berkata pemimpin pembangkang Riek Machar akan dilantik semula sebagai Naib Presiden I, lapor agensi berita Xinhua.

Machar, ketua Gerakan Pembangkang-Pembebasan Rakyat (SPLM-IO), akan menyandang semula jawatan itu seperti termaktub dalam perjanjian damai 2018.

Kiir berkata persetujuan turut dicapai untuk membentuk kerajaan campuran dan meneruskan pelaksanaan pelbagai agenda yang selama ini tertangguh. 

Beliau berkata keselamatan ibu kota Juba akan menjadi tanggungjawabnya dan memberi perlindungan kepada semua pemimpin pembangkang termasuk Machar.

Kiir juga bersetuju untuk mengurangkan jumlah negeri yang sebelum ini sebanyak 32 kepada 10 serta kerajaan sedia ada akan dibubarkan dan membentuk kerajaan campuran pada 22 Februari.

Di samping itu, beliau turut menyeru pelarian termasuk pelarian domestik pulang ke rumah masing-masing memandangkan negara sudah kembali aman. 

“Kami bermesyuarat hari ini dan membincangkan beberapa isu selepas membentuk kembali 10 negeri berbanding sebelum ini 32. Kami juga bersetuju membentuk kerajaan pada 22 Februari. Isu-isu lain akan diselesaiakan selepas kerajaan campuran dibentuk,” kata Machar.

Sudan Selatan dicengkam konflik sejak Disember 2013, selepas Presiden Salva Kiir memecat timbalannya Machar, mencetuskan pertempuran antara tentera yang setia kepada pemimpin masing-masing.

Perjanjian damai yang ditandatangani pada 2015 diabaikan apabila tercetusnya pertempuran pada Julai 2016, memaksa Machar melarikan diri. – Bernama, 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen