Aliran gesa Putrajaya mansuh undang-undang sekat kebebasan media


KERAJAAN perpaduan perlu menunaikan jangkaan atau harapan reformasi, termasuk membenarkan kebebasan media, kata gerakan reformasi Aliran hari ini.

Sebagai permulaan, kerajaan mesti memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara, tambah Aliran dalam satu kenyataan.

Aliran merujuk kepada penarafan media terkini oleh Reporters Without Borders (RSF) yang menyaksikan kedudukan kebebasan akhbar Malaysia 2024 turun 34 anak tangga, daripada tempat ke-73 tahun lepas kepada kedudukan ke-107 sekarang.

RSF juga memberikan Malaysia skor 52.07 mata, turun daripada 62.83 mata pada 2023.

Aliran menegaskan skor semasa Malaysia sebanyak 52.07 mata menjadikan ia kembali seperti sebelum Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan buat kali kedua pada 2022.

Pada Mei 2022, Malaysia memperoleh 51.55 mata dengan kedudukan tempat ke-113.

Skor semasa Malaysia sebanyak 52.07 mata juga sama pada 2018 iaitu 52.59, sejurus sebelum PH memenangi pilihan raya umum buat kali pertama pada 9 Mei 2018.

“Ini bermakna markah kebebasan akhbar kita kembali seperti sebelum pertukaran kerajaan pada 2018 dan 2022.

“Sebarang kelebihan daripada pertukaran kerajaan selepas tahun pertama berkuasa terhapus dari segi markah mata – walaupun kedudukan semasa Malaysia pada kedudukan ke-107 masih baik berbanding kedudukan ke-145 pada 2018,” kata Aliran.

Gerakan itu berkata walaupun kedudukan RSF dan markah mata mempunyai kelemahannya, ia memberi petunjuk penghakisan kebebasan media di Malaysia sepanjang tahun lepas.

“Ini tidak menghairankan memandangkan jangkaan di negara ini terhadap iklim media yang lebih bebas dan penghapusan undang-undang menindas gagal menjadi kenyataan.

“Larangan perbincangan mengenai 3R (bangsa, agama dan institusi diraja) juga nampaknya menyumbang kepada budaya penapisan diri.”

Aliran menambah kewujudan berterusan undang-undang menindas seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan menjejaskan iklim kebebasan media.

Ia berkata undang-undang digunakan untuk menyekat penulis bebas, penulis blog dan juga pengulas media sosial.

“Tindakan pihak berkuasa menggunakan kuasa sewenang-wenangnya menambah kesan menakutkan terhadap kebebasan media.

Pengumuman kod etika baharu kontroversi oleh kerajaan untuk wartawan pada Februari 2024 berdepan penolakan dan gagal memperbaiki keadaan, kata Aliran.

Menteri bertemu RSF

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kedudukan terkini Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar masih dianggap baik berbanding kerajaan terdahulu.

“Berada pada kedudukan ke-107 (dalam Indeks Kebebasan Akhbar), itu bagi saya masih pencapaian yang tidak memuaskan tetapi ia tidak terlalu buruk juga. Pada 2021, kita berada di tangga ke-119 manakala pada 2022, kita berada di kedudukan ke-113.

“Bagaimanapun, kedudukan sekarang masih baik berbanding pentadbiran sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mengulas mengenai strategi meningkatkan kebebasan akhbar, Fahmi berkata beliau dan RSF bersetuju mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan bagi menangani berita palsu atau penyebaran maklumat palsu di negara ini.

“Mereka (RSF) beri komitmen ini. Jadi, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan adakan mesyuarat susulan. Saya ambil laporan (RSF) dengan hati terbuka.

“Banyak yang perlu diteliti kerana tidak semuanya sepadan dengan nilai atau adab ketimuran yang kita amalkan di Malaysia, tetapi kita akan laksanakan dengan teliti penambahbaikan (kebebasan akhbar) yang ingin kita lihat dan amalkan di Malaysia,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan sekali lagi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan konsep kebebasan akhbar dengan menyentuh isu 3R di samping menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Beliau berkata ini kerana terdapat segelintir pihak yang sengaja memainkan isu 3R selepas penubuhan kerajaan perpaduan.

“Tindakan diambil terhadap beberapa laman web tersebut dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) berkata laman web ini sebenarnya menyebarkan berita palsu dan mempermainkan isu 3R,” katanya. – 5 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen