Peruntukan ahli Parlimen pembangkang dibincang Rabu depan, kata Fadillah


Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bulan lalu menafikan wujud draf perjanjian baharu dengan kerajaan berkenaan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang seperti yang didakwa pemimpin Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2024.

MAJLIS Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan bermesyuarat 17 April (Rabu) untuk membincangkan isu peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang, menurut Fadillah Yusof.

Mesyuarat itu susulan satu perjumpaan diadakan dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada 19 Mac lalu, yang turut disertai Ketua Whip Pembangkang Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee, kata timbalan perdana menteri seperti dipetik media.

“Dalam perjumpaan itu, pihak pembangkang mengatakan mereka mahu peruntukan dan apa saja syarat (untuk beri peruntukan) terserah kepada kerajaan (untuk ditetapkan).

“Saya maklum pada mereka perkara ini akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk kita kemukakan apa yang dihasratkan oleh mereka,” katanya seperti dilapor Bernama pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Petra Jaya di Kuching hari ini.

Pada 24 Mac lalu, Fadillah menafikan wujud draf perjanjian baharu dengan kerajaan seperti yang didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.

Fadillah dalam satu kenyataan berkata beliau tidak menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa dalam perjumpaan pada 19 Mac lalu. – 13 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen