MIC tetap sokong PM walaupun kecewa dengan kerajaan perpaduan, kata Saravanan


Ravin Palanisamy

Timbalan Presiden MIC M Saravanan ketika berucap dalam satu majlis di Kuala Kubu Bharu malam tadi. – Gambar Facebook, 3 Mei, 2024.

MIC akan terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya walaupun kecewa dengan kerajaan perpaduan, kata timbalan presiden parti M Saravanan.

Tambahnya, parti tertua India itu merasakan mereka diketepikan sepenuhnya walaupun selepas menyokong kerajaan.

“MIC sepatutnya menjadi yang paling kecewa dengan kerajaan sekarang. Semua parti (daripada Barisan Nasional) bersetuju menyokong Anwar dan kami menjadikan beliau perdana menteri.

“Tetapi mereka (Pakatan Harapan-Umno) mengambil semua jawatan dan mengetepikan MIC dan MCA,” kata bekas menteri sumber manusia itu di hadapan ratusan masyarakat India dalam majlis di Kuala Kubu Baharu malam tadi.

Walaupun berkempen untuk calon Kerajaan Perpaduan di KKB, Saravanan nampaknya tidak menyembunyikan rasa terkilannya.

Beliau juga menempelak PH kerana membuat pelbagai janji sebelum dan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi tidak menunaikannya.

“(Semasa berkempen untuk PRU15) mereka (PH) menyanyikan lagu “Hoi Hoi Ya Hoi” dan menyalahkan satu sama lain.

“Tetapi akhirnya semua (PH-BN) kini bersama dan membuat pengundi kelihatan bodoh.

“Mereka (PH) juga berkata jika mereka berkuasa, banyak yang akan dimansuhkan dan diubah…. Tetapi beritahu saya apa yang berlaku? Tiada apa-apa,” kata Saravanan.

Saravanan merujuk kepada lagu “Hoi hoi ya hoi… Siapa sokong penyamun? (Siapa sokong pencuri?)” yang digunakan oleh Anwar semasa berkempen untuk PRU15 menyasarkan pemimpin kleptokrat Umno terutama bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Lagu ini diambil dari filem Ali Baba Bujang Lapok P Ramlee pada 1961, parodi Ali Baba dan Empat Puluh Pencuri. Versi yang digubah semula itu dinyanyikan oleh artis rap Altimet yang nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Saravanan menggesa kaum India untuk bangkit dan menunjukkan mereka boleh membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-16 dan bukannya pilihan raya kecil negeri sekarang.

“Jangan tunjukkan kuasa orang India pada pilihan raya kecil ini. Tunjukkan kepada mereka apa yang boleh dilakukan oleh kaum India pada PRU16,” katanya.

Saravanan juga menggesa masyarakat India membuat pilihan yang tepat pada 11 Mei semasa PRK KKB.

“Saya pasti anda akan membuat pilihan anda sekarang. Saya tidak perlu beritahu siapa yang hendak diundi,” katanya.

Beliau berkata mempunyai Adun pembangkang hanya akan menyukarkan usaha membawa perubahan dan membangunkan kawasan DUN itu.

“Tinggal tiga tahun sahaja lagi (untuk pilihan raya umum akan datang).

“Jangan buat pilihan yang salah. Dalam PRK ini bijaklah dan buat pilihan yang tepat.

“Jika anda mempunyai Adun daripada parti yang berada dalam kerajaan persekutuan, banyak yang boleh dilakukan.

“Jadi, bijaklah semasa mengundi,” katanya.

Saravanan menghadiri majlis itu bersama beberapa ahli politik lain termasuk Menteri Pengajian Tinggi dan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan calon Gabungan Perpaduan untuk KKB Pang Sock Tao.

Kerusi KKB di Selangor kosong berikutan kematian Adun DAP tiga penggalnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bertarung dengan kanser.

PRK itu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional/Bersatu), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas Nyau Ke Xin.

Kawasan KKB mempunyai pengundi campuran Melayu (53.4)% Melayu, Cina (30.5%), dan India (15.82%).

Bakinya terdiri daripada Orang Asli dan lain-lain. Terdapat 40,226 pemilih berdaftar di KKB. Pengundi India berjumlah 6,362 dan boleh menentukan keputusan pilihan raya. – 2 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen