Microsoft umum labur RM10.5 bilion di Malaysia


Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella bersalaman dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Forum Kepimpinan Kebangsaan AI di Putrajaya, hari ini. – Gambar Facebook, 2 Mei, 2024.

MICROSOFT Corp akan melabur RM10.5 bilion dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang, kata Kementerian Pelaburan, Perladangan dan Industri (Miti) dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella mengumumkan pelaburan ini semasa Forum Kepimpinan Kebangsaan AI hari ini yang dihadiri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pengumuman terbaharu oleh Microsoft ini akan mengubah Malaysia menjadi hab digital terkemuka di peringkat serantau, sambil menyasarkan untuk melatih 300,000 rakyat Malaysia, serta memperkasakan pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman negara melalui teknologi inovatif dan canggih,” kata Miti.

“Pelaburan ini – dibantu oleh salah satu agensi Miti, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, bersama agensi awam lain – akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital,” tambahnya.

Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu berjanji pada 2021 untuk melabur RM4.12 bilion di Malaysia dalam tempoh lima tahun untuk membina pusat data berskala besar dan menyediakan perkhidmatan awan.

“Walaupun keutamaan kami adalah untuk menarik pelaburan berkualiti, kami juga sedang mencari rakan kongsi yang boleh membantu memperjuangkan komitmen bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana serta orang ramai – melalui teknologi pemboleh baharu termasuk AI – agar mereka juga boleh meraih faedah daripada ekonomi digital yang lebih rancak di Malaysia,” kata menteri Tengku Zafrul Aziz.

“Pelaburan sebanyak RM10.5 bilion Microsoft adalah langkah ke arah hasil positif itu.”

Sementara itu, Nadella mengulangi komitmen Microsoft menyokong transformasi AI negara dan memastikan manfaatnya sampai kepada semua rakyat Malaysia.

“Pelaburan kami dalam infrastruktur digital dan kemahiran akan membantu syarikat perniagaan, masyarakat dan pencipta perisian Malaysia menggunakan teknologi terkini untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi inklusif di seluruh negara,” katanya.

Anwar juga mengalu-alukan pelaburan itu, dengan mengatakan ia adalah yang terbesar Microsoft sepanjang tempoh 32 tahun kewujudannya di Malaysia.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan pelaburan ini, yang menunjukkan keyakinan Microsoft terhadap asas ekonomi negara yang kukuh, dasar yang jelas dan fokus, persekitaran mesra pelabur dan kestabilan politik,” katanya pada catatan di X. – 2 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen