Tiada keputusan muktamad kenaikan harga petrol, diesel, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim sifatkan laporan media asing mengenai pemotongan subsidi bahan api sebagai tidak matang dan tidak beretika. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan masih belum ada keputusan muktamad oleh Kabinet mengenai kenaikan harga petrol dan diesel.

Beliau menepis laporan media asing mengenai pemotongan subsidi bahan api sebagai tidak matang dan tidak beretika, sambil menambah walaupun terdapat perbincangan, tiada tindakan konklusif diambil.

“Jika langkah sebegitu diambil, kerajaan perlu menjelaskan kaedahnya supaya tidak membebankan rakyat.

“Saya mendapati kebelakangan ini, mungkin kerana pendirian kita terhadap politik yang tegas, maka media jiran dan antarabangsa terus menyerang dari segi berita yang negatif, umpamanya isu pembangunan kasino (di Johor)...ia tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah sampai ke maklumat saya tapi ia dijadikan isu panas,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Perdana Menteri bersama pemimpin masyarakat di The Light Hotel di Butterworth, Anwar mengkritik laporan media asing kerana memetik maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

“Kita terima prinsip kebebasan (media) tetapi ada etika berdasarkan fakta. Memetik maklumat perlukan daripada sumber yang boleh dipercayai. Perkara sebegini adalah soal dasar yang memerlukan kerajaan beri notis dan pengumuman,” katanya.

Apabila media antarabangsa memainkan isu itu, Anwar berkata ia menguntungkan pembangkang yang memainkan isu ini.

Pada Jumaat, laporan media asing mengatakan Malaysia bakal mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun, satu pembaharuan ekonomi utama yang akan menjadi ujian utama sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan ketika orang ramai bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Laporan media itu, yang memetik sumber rasmi dan industri, berkata harga diesel akan diapungkan pada kadar pasaran dalam masa beberapa minggu selepas pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, dan ia akan diikuti dengan kenaikan berperingkat dalam kadar runcit petrol. – 5 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen