Pemilik PKS perlu latihan automasi, teknologi AI, kata persatuan


Alfian Z.M. Tahir

Persatuan PKS Malaysia berkata syarikat kecil dan sederhana perlu diajar dan dilatih untuk menggunakan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2022.

KEKURANGAN latihan menjadi faktor utama kenapa perniagaan kecil tidak dapat bergerak ke arah pendigital, sama ada dengan mengguna pakai automasi atau teknologi kecerdasan buatan (AI), kata persatuan perniagaan.

Mereka berkata Putrajaya perlu menyediakan latihan, termasuk membawa masuk pakar luar negara bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pemilik perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Laporan Bank Dunia tahun lalu menyatakan walaupun menjadi tulang belakang persekitaran perniagaan sesebuah negara, PKS ketinggalan dalam beralih kepada digital berbanding syarikat lebih besar.

Katanya, pencapaian PKS di Malaysia amat rendah berbanding negara lain, daripada segi output dan tahap produktiviti.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata tanpa sokongan kerajaan, PKS tidak akan dapat mengguna pakai pendigitalan dalam perniagaan mereka.

Beliau mencadangkan kerajaan mendapatkan khidmat pakar luar negara untuk melatih pemain industri.

“Jika anda mahu PKS dapat menggunakan IR4.0 atau teknologi digital canggih, kerajaan perlu latih PKS dan perniagaan mikro untuk meningkatkan produktiviti.

“Syarikat kecil dan sederhana perlu diajar. Pemilik kedai kopi misalnya tidak dapat menggunakan teknologi jika tidak diberikan latihan.

“Bawa pakar luar negara untuk latih mereka di sini. Mungkin ambil masa dua hingga empat tahun, tetapi itu cara paling cepat,” kata Ding.

Beliau berkata terdapat 1.4 juta PKS di Malaysia dengan 76% daripadanya industri mikro.

Sementara itu, Naib Presiden PKS Chin Chee Seong berkata penyedia solusi juga boleh membantu usahawan untuk memulakan pendigitalan.

“Latihan perlu diberikan. Mereka mungkin tidak ada pengetahuan tetapi ada banyak penyedia solusi yang boleh bantu mereka,” kata Chin.

Tahun lalu, nilai e-perdagangan Malaysia melonjak 33% kepada RM896 bilion berbanding RM675 bilion pada 2019, menurut data terkini  Jabatan Perangkaan Malaysia.

Majoriti menggunakan teknologi media sosial (60%) dan Internet telefon pintar (63.8%) sementara sejumlah kecil meneroka teknologi seperti analisis data (6.3%). – 4 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen