PKS rayu moratorium pinjaman tanpa faedah selama 3 bulan 


PKS merayu agar diberi moratorium pinjaman selama 3 bulan bagi membantu mereka yang terjejas pulih akibat banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2021.

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas banjir meminta kerajaan memberi moratorium pembayaran balik pinjaman tanpa faedah selama 3 bulan.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan melalui Bank Negara kerana menawarkan pinjaman sehingga RM500,000 kepada PKS yang terjejas akibat banjir.

“Dan kami menggesa kerajaan mengambil langkah lebih jauh dengan mengumumkan moratorium 3 bulan tanpa faedah bagi pembayaran balik pinjaman untuk PKS yang terjejas,” kata Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak  RM200 juta untuk perusahaan mikro dan PKS yang terjejas akibat banjir di seluruh negara di bawah Kemudahan Bantuan Bencana 2022.

BNM berkata PKS boleh menggunakan wang itu untuk menampung kos pembaikan atau mengganti aset untuk kegunaan perniagaan, seperti loji dan jentera yang rosak akibat banjir.

Ia berkata PKS boleh memohon sehingga RM500,000 manakala perusahaan mikro boleh meminjam sehingga RM75,000.

Samenta hari ini merayu kerajaan dan polis menghentikan perbuatan memecah masuk kedai dan gudang.

Beliau berkata, bantuan itu diperlukan kerana banyak PKS melaporkan kerosakan teruk pada kenderaan, jentera dan stok sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Anggaran awal kami ialah antara 12,000 hingga 18,000 PKS terjejas akibat banjir,” kata Ng.

“Bencana ini telah berlaku pada masa yang sukar untuk perniagaan - ketika PKS baru mula bangkit selepas sekatan yang panjang.”

Ng juga merayu kepada syarikat insurans agar memproses tuntutan dengan cepat, agar perniagaan kecil dapat pulih daripada banjir secepat mungkin. – 21 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen