Guan Eng gesa kerajaan perluas moratorium pinjaman kepada PKS


Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata PKS mengalami kerugian sebanyak RM40.7 bilion tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diberi moratorium tanpa faedah pinjaman oleh bank sebagaimana ditawarkan kepada 50% rakyat Malaysia berpendapatan rendah, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP menyambut baik pengumuman Kementerian Kewangan semalam yang pihaknya meminta bank menawarkan pengecualian kepada kumpulan 50% terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia dari Oktober hingga Disember.

“Saya bercakap dengan Tengku Zafrul, selepas menandatangani MoU, untuk turut mempertimbangkan PKS dalam keadaan kewangan yang teruk, berikutan kegagalan pengurusan krisis kembar negara Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang berlaku,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lanjutan pengecualian kepada PKS adalah wajar kerana mereka mengalami kerugian pendapatan sebanyak RM40.7 bilion tahun lalu, menurut angka kerajaan.

“Sebanyak 580,000 perniagaan, yang mewakili 49% sektor PKS berisiko gagal menjelang Oktober jika mereka tidak diizinkan untuk dibuka menjelang tempoh itu.

“Dengan kata lain, hanya ada satu bulan lagi sebelum kerajaan mesti membuka kembali ekonomi sepenuhnya atau tidak, sektor PKS akan runtuh,” kata Lim, yang memetik bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang mendedahkan angka ini .

Lim berkata industri perbankan mampu menanggung kerugian modifikasi bersih daripada pengecualian pembayaran faedah dengan keuntungan cukai sebanyak RM32.3 bilion pada 2019 dan lebih RM23 bilion pada 2020.

Bank juga mencatatkan keuntungan tahun ini walaupun terdapat kemelesetan ekonomi, tambahnya.

“Daripada memperoleh keuntungan dengan mengorbankan keringat dan air mata peminjam yang mungkin gulung tikar, industri perbankan juga harus berkongsi dengan membantu pelanggan mereka bertahan.”

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata semalam kementerian sudah meminta bank menawarkan moratorium pinjaman tanpa faedah selama tiga bulan kepada kumpulan 50% rakyat Malaysia terbawah, sebagai sebahagian daripada perjanjian kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).

Lim mengalu-alukan tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai kejayaan pertama hasil perjanjian PH dengan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga berkata kerajaan memasukkan dua cadangan lain oleh PH dalam perjanjian itu, iaitu menaikkan siling dana Covid-19 kepada RM110 bilion dari RM65 bilion, dan juga meningkatkan had statutori hutang kerajaan persekutuan dari 60 % kepada 65% daripada keluaran dalam negara kasar. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen