Indeks kebebasan media bukan kayu ukur sejati, kata Fahmi


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Indeks Kebebasan Media Dunia yang diterbitkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) tidak hanya berkaitan dengan Kementerian Komunikasi semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2024.

FAHMI Fadzil berkata beliau ambil maklum kedudukan Malaysia di tangga ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

Laporan yang menunjukkan kedudukan negara ini merosot sebanyak 34 anak tangga berbanding tangga ke-73 tahun lalu itu bagaimanapun tidak tidak boleh dianggap sebagai piawaian emas bagi kebebasan media, tambah menteri komunikasi.

“Sebagai contoh ada ahli Parlimen yang mengatakan kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel iaitu Malaysia dia kedudukan 107 manakala Israel lebih kurang di kedudukan 101.

“Kita juga tidak menutup mana-mana media seperti semalam Israel menutup serta menggeledah pejabat Al- Jazeera.

“Jadi (indeks kebebasan media RSF) mungkin satu kayu ukur, tapi bukan kayu ukur yang sejati, yang orang kata ‘the golden standard’. (Indeks) itu adalah untuk kita meneliti, mempertimbang mungkin ada tindakan yang boleh ditambah baik,langkah-langkah yang lebih baik (boleh diambil),” katanya seperti dilapor media hari ini.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di Kuala Lumpur.

Beliau dalam pada itu mengalu-alukan kesediaan RSF untuk bekerjasama dengan Malaysia.

Katanya beliau juga bakal menjadi menteri komunikasi pertama akan bersemuka dengan RSF untuk mendengar dan meneliti cadangan yang akan dikemukakan NGO antarabangsa itu.

“Saya harap pertemuan ini nanti boleh memaklumkan apa langkah yang mereka cadangkan namun kita tidak semestinya menerima bulat-bulat cadangan mereka tetapi ia sebagai mungkin untuk kita kaji dengan mendalam dan lihat apa yang sesuai untuk Malaysia,” katanya.

Fahmi, yang juga jurucakap bagi kerajaan perpaduan, berkata Indeks Kebebasan Media Dunia itu juga tidak hanya berkaitan dengan Kementerian Komunikasi semata-mata tetapi turut melibatkan akta-akta lain di bawah kementerian berbeza.

“Sebagai contoh isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kita tahu pendirian Malaysia mengenai isu tersebut dan kesesuaian beberapa perkara dalam acuan sama ada Asean atau ketimuran,” katanya. – 6 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen