Tiada wartawan ditahan, tiada media ditutup, kata Fahmi


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mempertahankan pendirian kerajaan perpaduan mengenai kebebasan bersuara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2024.

FAHMI Fadzil hari ini mempertahankan pendirian kerajaan perpaduan mengenai kebebasan bersuara, dengan mengatakan bahawa tindakan hanya diambil terhadap penyebaran fitnah.

Menteri komunikasi yang juga jurucakap kerajaan berkata, kerajaan tidak bertindak terhadap mereka yang mengkritik kerajaan.

Beliau berkata ini menolak laporan hak asasi manusia Amnesty International untuk 2023 yang menggambarkan Malaysia dalam pandangan yang buruk dengan kerajaan didakwa gagal memenuhi komitmen untuk pembaharuan undang-undang yang menyekat hak kebebasan bersuara.

Amnesty International dalam laporannya berkata Malaysia telah gagal bertindak atas komitmen yang dibuat semasa kempen pilihan raya umum 2022 untuk memperbaharui undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan menerima pakai Akta Kebebasan Maklumat.

Dalam sidang media di Putrajaya, Fahmi berkata tiada wartawan ditahan dan tiada penerbitan ditutup.

Beliau berkata walaupun kerajaan menerima pandangan Amnesty International, terdapat perbezaan apabila melibatkan sebarang ‘kebebasan’ untuk menyebarkan fitnah.

“Ada beza antara kebebasan bersuara dan kebebasan menyebarkan fitnah. Tidak ada isu untuk mengkritik kerajaan, tetapi mereka yang mencipta fitnah termasuk terhadap perdana menteri… fitnah itu tidak boleh diterima.

“Setakat ini, tiada wartawan yang ditahan malah mana-mana penerbitan ditutup,” katanya seperti dilaporkan dalam New Straits Times. – 24 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen