13 usahawan dari serata negeri bergabung sempena 16 September


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kempen Sapot SME pasar produk berkenaan melalui mesin layan diri di balai perlepasan KLIA Ekspres. – Tangkap layar, 16 September, 2021.

SEBANYAK 13 produk makanan dari seluruh negeri bergabung sebagai satu keluarga melalui mesin jualan layan diri bagi memperingati tarikh 16 September sempena penubuhan Malaysia.

Gabungan itu diusahakan Atlas Vending, pembekal mesin layan diri di Malaysia yang berniat menjadikan sambutan Hari Malaysia lebih bermakna dengan kempen terbaru itu.

Ketua pemasarannya Amy Gan berkata ia antara usaha memasarkan produk usahawan kecil dan sederhana (PKS) itu juga untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik.

“Kami dapati ramai usahawan tempatan terpaksa mengecilkan skop pelan perniagaan mereka, akibat masalah logistik bekalan, kos sewaan dan pengurangan waktu operasi.

“Disebabkan itu, kami bercadang untuk menawarkan mesin layan diri kami sebagai saluran jualan berautomasi bagi membantu meluaskan lagi jangkauan mereka,” katanya.

Menurut Gan, langkah itu dibuat selepas menyedari 100,000 PKS menutup perniagaan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.

“Seramai 50,000 lagi PKS berisiko untuk gulung tikar jika PKP dilanjutkan lagi.

“Menerusi kempen Sapot SME ini, kami berharap untuk meraikan semangat Malaysia dengan menyokong para usahawan di seluruh negara dan keazaman mereka untuk terus bertahan,” katanya.

Ketua Pemasaran Atlas Vending Amy Gan. – Tangkap layar, 16 September, 2021.

Melalui kerjasama itu, produk sah halal keluaran penguasaha berkenaan dapat ditempatkan di mesin automatik di balai perlepasan KLIA Ekspres di Terminal Udara Kuala Lumpur.

Ia antara lain memuatkan produk Madina Food (Perlis), Nature’s Fresh (Kedah), Yee Hup Hiong Piah (Perak), TalentCook (Pulau Pinang), TFN (Selangor) dan myEureka (Melaka).

Tidak ketinggalan, produk Rehan (Negeri Sembilan), Azhar Food (Johor), Tokey Sambal Hitam (Pahang), Anopokku (Terengganu), Akifcafe (Kelantan), Heera Enterprise (Sabah) dan Lee Fah Mee (Sarawak).

Salah seorang pengusaha terbabit, Lee Fah Mee Sdn Bhd memberitahu, mereka tidak membuang masa untuk menyertai kempen itu sebaik dipelawa oleh Atlas Vending.

Pengurus pemasarannya Chai Chin Siew berkata ia membolehkan kegemaran penduduk tempatan Sarawak seperti kerepek dan laksa Sarawak menemui lebih ramai pelanggan.

“Bukan sahaja oleh rakyat Sarawak yang tidak dapat pulang akibat pandemik ini, tetapi juga oleh rakyat Malaysia lain yang belum pernah mencuba produk kami.

“Kempen ini sememangnya satu hadiah Hari Malaysia yang hebat bagi kami,” katanya.

Satu lagi peserta kempen itu Tokey Sambal Hitam menganggap kempen tersebut sebagai peluang baharu untuk jualan fizikal selepas memasuki pasaran dalam talian sejak 2017.

Pengasasnya Khairril Adhzaha Awahab berkata ia memberi pencapaian bermakna kerana mereka dapat menjual produk tradisi Pahang itu secara fizikal melalui mesin layan diri.

“Peluang ini akan membolehkan kami berkembang melangkaui pasaran semasa dan kami berharap akan meningkatkan lagi jualan yang seterusnya membolehkan kami bertahan dalam pandemik ini.”

Pengeluar makanan dari Pulau Pinang, Epic Food Manufacturing, juga melihat program ini satu peluang besar kepada mereka untuk berkongsi makanan etnik tempatan dengan pengguna global.

Pengarahnya Tan Ai Leen berkata rakyat Malaysia juga akan dapat menikmati makanan Pulau Pinang kegemaran mereka pada bila-bila masa, tidak kira di mana sahaja.

“Program ini telah membawa impian kami ke satu tahap yang lebih tinggi dengan mesin layan diri yang menawarkan satu cara mudah untuk membuat pembelian bagi para pengguna di Lembah Klang.

“Kami ingin mencadangkan kepada PKS yang lain agar mempertimbangkan untuk meletakkan produk mereka dalam mesin layan diri!” kata pengeluar pes Hokkien Mee dan Penang Asam Laksa itu.

Pengeluar bertih jagung pelbagai perisa dari Melaka, myEureka pula lega kerana program Sapot SME ini memberi nafas baru kepada perniagaanya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengarahnya Lim Choon Chen gembira kerana Sapot SME memberi peluang kepada PKS sepertinya memasarkan produk melalui mesin layan diri di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Kami juga tidak perlu membayar sewa untuk mesin layan diri itu,” katanya yang mengeluar bertih jagung dengan 20 pilihan perisa termasuk nasi lemak.

Mesin layan diri berkenaan beroperasi selama 24 jam. – 16 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen