Dr Mahathir disiasat SPRM berhubung pengisytiharan aset, kata Azam Baki


Bekasperdana menteri Dr Mahathir Mohamad antara yang disiasat SPRM berhubung pengisytiharan aset. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 April, 2024.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad antara yang disiasat berhubung pengisytiharan aset, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Azam Baki berkata bekas perdana menteri itu antara yang disiasat badan antirasuah itu susulan siasatan terhadap dua anak lelakinya.

“Saya ingin mengesahkan beliau (Dr Mahathir) adalah antara yang disiasat.

“Dua anak lelakinya diberikan notis untuk mengisytiharkan harta mereka dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009,” kata Azam kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM di Gua Musang hari ini.

Azam bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai kesalahan yang didakwa.

“Saya tidak berhasrat untuk memperincikan lagi maklumat lanjut berhubung kes itu, tentang apa kesalahan yang dilakukan kesemua mereka,” katanya.

Pada 16 April Dr Mahathir mendakwa SPRM menuduhnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, menurut notis yang dihantar kepada anaknya Mirzan.

Notis oleh SPRM itu diberikan kepada anaknya, Mirzan Mahathir, tambahnya.

Pada 16 Februari Mirzan dan abangnya Mokhzani Mahathir diberi lanjutan 30 hari oleh SPRM untuk mengisytiharkan harta mereka.

SPRM juga sedang menyiasat bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan keluarganya berhubung pengisytiharan aset.

Azam juga berkata SPRM tidak pernah berhenti menyiasat isu LCS dan Scorpene serta masih berhubung dengan pihak luar untuk mendapatkan maklumat.

Perolehan enam kapal LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd terpalit dengan skandal selepas didapati hanya 53.29% daripada projek itu siap setakat 31 Mei 2019 walaupun kontrak ditandatangani lebih 10 tahun lalu.

Terdapat juga siasatan terhadap pembelian kapal selam Scorpene yang kontroversi.

Azam berkata SPRM mengeluarkan notis mengenai pengisytiharan aset sehingga 28 April kepada polis kanan yang disyaki melindungi sindiket.

Mengenai PRK Kuala Kubu Baharu beliau berkata SPRM akan mengaktifkan bilik gerakan negeri dan memantau perjalanan pilihan raya. – 25 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen