Rumah terbuka KKB boleh langgar peraturan pilihan raya, kata Bersih


Menurut Bersih, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di Kuala Kubu Baharu mungkin bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.– Gambar Facebook, 26 April, 2024.

BADAN pemantau pilihan raya Bersih mempersoalkan rancangan kerajaan Selangor untuk menganjurkan rumah terbuka Hari Raya peringkat negeri semasa pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu.

Jawatankuasa pemandunya berkata penganjuran rumah terbuka Aidilfitri mungkin bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

“Mana-mana parti politik atau calon yang bertanding dalam PRK ini tidak seharusnya menganjurkan sebarang rumah terbuka kerana ia boleh bercanggah dengan AKPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih berkata, semua parti yang akan bertanding pada PRK ini khususnya Selangor dan kerajaan pusat perlu mematuhi etika berkempen agar pilihan raya dapat berjalan dengan bersih dan adil.

Mereka merujuk kepada rumah terbuka Selangor yang akan diadakan di KKB esok selepas penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu.

“Bersih mempersoalkan lokasi dan masa rumah terbuka ini kerana majlis ini dianjurkan di kawasan yang diadakan pilihan raya kecil.”

Bersih berkata, berdasarkan risalah program yang diterima mereka terdapat pelbagai aktiviti diadakan seperti kenduri dan pemberian duit raya.

“Memberi atau menghidangkan makanan dalam tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (Jamuan) dan memberi duit raya adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 (Rasuah).

“Selangor perlu sedar berikutan penganjuran rumah terbuka ini menggunakan sumber kerajaan negeri, mereka perlu memastikan acara itu tidak dijadikan medan untuk memperkenalkan calon, memasang bendera dan berkempen untuk calon mereka.”

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut akan mewakili Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan telah memilih Pang Sock Tao untuk bertanding. Pihak lain masih belum menyatakan penyertaan mereka.

Hari pengundian ialah 11 Mei. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adunnya Lee Kee Hiong.

Bersih berkata, penggunaan sumber kerajaan semasa pilihan raya kecil perlu mematuhi prinsip 3C yang digariskan Bersih iaitu “Tiada Syarat, Tiada Kempen, dan Tiada Calon”. – 26 April, 2024.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen