Kerajaan salur lebih RM86 juta kepada 13,886 PKS, MTC 


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata RM700 juta diperuntukkan bagi bantu dan galakan ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

SEJUMLAH RM86.4 juta disalurkan kepada 13,886 perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) setakat 8 Okt, 2021.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan juga memperuntukkan RM700 juta bagi membantu dan menggalakkan PKS dan MTC ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

Beliau berkata selain itu, RM221.32 juta disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank bagi memberi manfaat kepada 17,734 PKS Mikro Pertanian setakat 8 Okt, 2021.

“Pembiayaan bernilai RM400 juta diperuntukkan bagi golongan petani, peladang dan nelayan. Di bawah skim ini, RM350 juta merupakan peruntukkan di bawah Skim Mikrokredit Agrobank,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-73 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata jaminan makanan amat dititikberatkan dalam Penjana dan juga Belanjawan 2021.

Tengku Zafrul berkata bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, seramai 137,659 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini setakat 1 Okt, 2021.

Beliau berkata antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

Layari www.perkeso.gov.my/186- penjana/803-program-insentifpengambilan-pekerja-dan-bantuanlatihan.html. untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Selain itu, di bawah Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana pula, beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS Mikro yang masih terkesan dengan penularan Covid-19.

“Setakat 8 Okt, terdapat 701 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah ini sebanyak 340 permohonan diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM67.5 juta,” katanya. – Bernama, 22 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen