PKS merana rugi RM1 bilion akibat banjir


Raevathi Supramaniam Khoo Gek San

PKS teruk terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini dengan kerugian dianggarkan RM1 bilion, kata beberapa persatuan perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

PERNIAGAAN mikro, kecil dan sederhana (PKS) teruk terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini dengan kerugian dianggarkan RM1 bilion, kata beberapa persatuan perniagaan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight banjir yang menyaksikan air bah naik hingga paras bumbung, memusnahkan banyak peralatan yang digunakan dalam operasi perniagaan.

Bencana banjir baru-baru ini adalah tamparan terhadap PKS yang dalam proses pulih daripada beberapa penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bagi menyekat penularan Covid-19.

“PKS rugi teruk. Anggaran semasa rugi RM1 bilion tetapi ia mungkin tidak tepat kerana beberapa negeri masih banjir,” kata Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing.

Ding berkata apa yang penting sekarang ialah kerajaan perlu beri bantuan kepada mereka yang terjejas bagi membolehkan peralatan diganti supaya pengeluaran produk boleh diteruskan tanpa kelewatan kerana ia boleh menyebabkan pelanggan lari.

“Bagi memenuhi tempahan, PKS perlu dapat membeli peralatan atau menyewa sementara untuk menyambung semula operasi secepat mungkin.”

Ini tamparan ketiga untuk PKS. Pertama ketika PKP yang tidak membenarkan mereka beroperasi, diikuti dengan masalah kekurangan pekerja akibat sekatan kemasukan pekerja warga asing dan sekarang banjir yang mungkin menyebabkan mereka hilang lebih ramai pelanggan, kata Ding.

Beliau berkata persatuan memohon geran RM100,000 bagi membantu usahawan mikro dan RM300,000 untuk usahawan sederhana.

Walaupun jumlah itu tidak cukup menampung kerugian, ia akan dapat meringankan beban bagi membeli peralatan yang membolehkan kilang menjana pendapatan dan membayar kos, katanya.

Cadangan itu katanya sudah diserahkan kepada Putrajaya dan pada masa ini sedang menunggu jawapan, kata Ding.

Lulus pinjaman untuk bantu PKS

Presiden Persatuan Dewan Perdagangan Cinna dan Industri Malaysia (ACCCIM) Low Kian Chuan berkata masih terlalu awal untuk menyatakan jumlah kerugian akibat banjir.

Kecuali Lembah Klang, kawasan di pantai timur dan selatan masih belum pulih daripada banjir, katanya.

“Apa yang kita tahu ialah banjir akan menyebabkan kerugian berjuta ringgit.”

Low berkata ACCCIM memperuntukkan RM250,000 bagi membantu ahli yang terjejas akibat banjir sementara ahlinya juga aktif mengutip dana.

Setakat ini, ia mengumpul lebih RM1 juta sumbangan, katanya.

“Banjir di Selangor sangat teruk kerana ramai tidak menjangkanya dan ia menyukarkan mangsa banjir kembali pulih.

“Ramai masih menunggu pampasan daripada syarikat insurans. Kilang perlu dua minggu untuk kerja pembersihan dan kemudian perlu tunggu bayaran insurans sebelum dapat membeli sebarang peralatan.

“Ini bermakna ia akan mengambil masa panjang sebelum operasi dapat bersambung semula.

“Jika kilang terbabit membuat permohonan pinjaman, bank perlu luluskan tanpa melihat pencapaian lampau kerana bantuan tidak boleh dilengahkan,” katanya. – 6 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen