Syarikat teknologi bantu B40, PKS buka kedai dalam talian


Noel Achariam

Pengasas SMEGO, Westin Chew ingin membantu perniagaan mikro mencapai cemerlang dengan aplikasi terbaharunya. – Gambar Facebook, 18 Januari, 2022.

KETIKA landskap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berubah, firma teknologi tempatan SMEGO melancarkan aplikasi mudah alihnya untuk membantu peniaga B40 dan mikro menguruskan beban kerja mereka.

Ciri utama aplikasi itu direka untuk membantu pemilik perniagaan mewujudkan kedai dalam talian dan pada masa sama mengesan data, stok dan inventori yang diperlukan.

Ini seterusnya akan membolehkan peniaga menambah produk mereka apabila perniagaan semakin berkembang.

Pengasas SMEGO, Westin Chew berkata beliau memulakan aplikasi itu pada 2017 di Hong Kong dengan matlamat utama untuk membantu perniagaan mikro mencapai kecemerlangan.

Beliau berkata pada 2019, beliau membawa semula aplikasi itu ke Malaysia untuk membangunkannya lagi bagi pasaran tempatan.

“Pada 2020 ketika pandemik melanda, kami memperkenalkan versi SMEGO 1.0 yang merupakan pakej asas untuk pengguna mikro mendigitalkan perniagaan mereka.

“Ia diperkenalkan sebagai aplikasi percuma dan pada masa ini kami mempunyai kira-kira 300 pengguna aktif,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chew berkata aplikasi itu berguna, bukan sahaja mengurus dan mempromosikan produk tetapi membantu urusan dalaman perniagaan mereka.

“SMEGO akan menguruskan produk, perakaunan dan inventori dan terdapat platform e-dagang yang menghubungkan ke platform dalam talian lain.

“Pautan ke Lazada dan Shoppe akan siap tidak lama lagi. Integrasi dan ujian sedang dilakukan.

“Pemilik perniagaan boleh meletakkan produk mereka di SMEGO, yang kemudiannya akan dipaparkan pada platform lain.”

Beliau berkata mereka sudah berbincang dengan agensi kerajaan dan mendapati banyak mikro B40 dan usahawan wanita tidak tahu mengenai pendigitalan.

“Ramai yang tidak tahu mengenai pendigitalan, malah di bandar dan kebanyakannya di luar bandar, mereka masih menggunakan kaedah konvensional dengan menjual produk di kedai.

“Dengan menggunakan SMEGO, kami akan membenarkan mereka masuk dan menghubungkan ke tempat pasaran (dalam talian) untuk menjual dan memasarkan produk mereka.”

Chew berkata sebagai contoh jika seseorang menjual produk di Lazada, selepas transaksi dilakukan, ia akan dipaparkan dalam aplikasi.

“Ini akan membolehkan pengguna menguruskan inventori produk mereka. Jadi, apa yang mereka perlu lakukan ialah mengurus SMEGO yang memastikan semua aspek dihubungkan.”

 Chew berkata mereka yang berminat boleh memuat turun aplikasi itu di Android, Huawei dan iOS.

Beliau berkata, tahun ini mereka mula mengenakan bayaran bulanan RM59 bagi penggunaan aplikasi itu.

“Aplikasi ini mesra pengguna. Apa yang perlu pengguna lakukan ialah memuat naik produk mereka (foto, penerangan, harga) di SMEGO dan secara automatik kami akan memberikan pengguna platform e-dagang.

“Jadi, pengguna tidak memerlukan pengehosan web atau mencari tapak web bagi melakukan e-dagang untuk mereka. Jadi, semuanya berada pada satu tempat dalam aplikasi.

“Kami juga mempunyai pautan untuk produk yang akan diletakkan di Shoppe atau Lazada tidak lama lagi. Jika ada transaksi, semua jualan akan kembali ke inventori pengguna dan menolak stok.”

Beliau menambah yang dengan aplikasi ini pengguna akan mempunyai kedai e-dagang dan membolehkan mereka berkongsi produk.

“Sebagai contoh pengguna boleh berkongsi pautan kepada jiran mereka bagi memberitahu mereka menjual nasi lemak. Semua harga dan butiran produk akan dipaparkan.

“Ini adalah cara untuk mendigitalkan perniagaan mereka yang akan membantu perniagaan B40 dan mikro.”

Mereka yang berminat boleh melihat platform perniagaan di www.smego.my. – 18 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen