Serangan Tiong ke atas Dr Noor Hisham tiada asas


BANYAK yang diperkatakan tentang “serangan” Presiden Parti Demokratik Progresif Tiong King Sing di Dewan Rakyat tempoh hari.

Rata-rata rakyat terkejut dan kecewa dengan tuduhan beliau terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang dianggapnya “takut mati”, tidak bersungguh dalam melawan Covid-19 di Sabah dan bercita-cita menjadi setiausaha agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada zaman ini, dengan ledakan maklumat yang deras, perbahasan di kedai kopi pun, orang sudah pandai bertanya: “Apa buktinya?”

Inikan pula dalam Parlimen yang disiarkan secara langsung.

Tuduhan yang dilemparkan kepada Dr Noor Hisham yang bukan ahli Parlimen itu jelas dilihat berniat jahat kerana ketua pengarah kesihatan itu pastinya tidak dapat menjawab dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat. 

Tiong langsung tidak meminta maaf, apatah lagi menarik balik tuduhannya. Malah keadaan luar biasa, apabila ahli Parlimen yang membantah pula diperintahkan keluar dewan oleh timbalan speaker.

Tiong sepatutnya memfokuskan tanggung jawabnya sebagai wakil kerajaan ke negara China yang bertaraf menteri. Jauh sekali perlu menyerang ketua pengarah kesihatan tentang cabaran Covid-19 yang getir di Sabah.

Ditambah pula serangan peribadi itu terhadap seorang yang diiktiraf sebagai ikon negara dalam melawan Covid-19.

Dr Noor Hisham dan semua petugas barisan depan, termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan telah berjaya mengawal rapi penularan virus sehingga berjaya memasuki fasa pemulihan.

Keadaan menjadi kalut dengan gelombang kedua apabila pilihan raya negeri diadakan di Sabah tanpa SOP yang ketat, angkara orang politik yang berebut kuasa. 

Kita sepatutnya mengiktiraf pengorbanan petugas barisan depan, terutamanya ahli dan pekerja perubatan yang sentiasa dalam keadaan berhadapan dengan bahaya menghadapi pandemik Covid-19 ini. 

Ada antara kita yang mempunyai adik beradik, anak-anak, saudara dan kawan-kawan yang bertarung nyawa di hospital-hospital Covid-19 seluruh negara. 

Antara kemungkinan Tiong “berciap” sebegitu, mengikut perkiraan kami, 

1. Malas untuk membuat kajian yang tepat dan menyeluruh tentang situasi yang sebenarnya. Apakah cabarannya? Apa tindakan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan serta penyelarasan antara mereka. Apa pula peranan pusat dan negeri?

2. Ada tujuan yang tersirat melakukan serangan untuk memburukkan imej KP untuk pihak-pihak tertentu? Kerana perkara ini bukan di bawah bidang kuasa Tiong pun. 

3. Persepsi segelintir ahli politik berfahaman dunia ketiga, yang melihat penjawat awam sebagai khadam mereka yang boleh diarahkan atau diperlakukan sewenang-wenangnya. 

Penjawat awam adalah tertakluk kepada Perintah Am. Tetapi, sampai hari ini, tidak jelas sempadan tanggungjawab antara lantikan politik dan penjawat awam. Ini membuka pintu kepada salah guna kuasa yang endemik. 

4. Stail politik dunia ketiga apabila semua perhatian diberi kepada ahli politik seolah-olah mereka yang mentadbir negara dengan sendiri. Yang mentadbir sebenarnya ialah 1.6 juta penjawat awam yang mahir dan berpengalaman. 

Mungkin ada rasa iri hati kerana perhatian adalah kepada seorang penjawat awam yang berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan masyarakat dunia. 

Dr Noor Hisham telah menjawab – beliau tidak takut mati, kerana sebagai seorang Muslim, maut boleh berlaku dimana-mana. Nyawa di tangan Allah swt.

Kalau dia dipilih menjadi setiausaha agung WHO, itu satu penghormatan besar kepada negara dan penjawat awam kita terutamanya di Kementerian Kesihatan. Kenapa nak dengki? 

Kami menyeru kepada Tiong untuk meminta maaf secara terbuka kepada ketua pengarah dan berjanji tidak akan berperangai demikian lagi. 

Cabaran negara berlipat ganda, kita perlu fokus kepada cabaran yang lebih utama dan mencari penyelesaian yang bijaksana. – 15 November, 2020.

*Mohd Jamaludin Shamsudin adalah aktivis masyarakat sivil.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen