Jumlah jangkitan baharu Covid-19 masih lebih 1,000 kes, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Sebanyak 1,009 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir di mana sebahagian besarnya dilaporkan dari Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 November, 2020.

KES baharu Covid-19 masih tinggi di negara ini apabila Kementerian Kesihatan melaporkan 1,009 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir di mana sebahagian besarnya dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah mencatatkan 564 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.

Beliau berkata ini diikuti oleh Selangor yang mencatatkan 177 kes baharu dan Labuan sebanyak 92 kes baharu.

Enam lagi kematian dilaporkan – lima di Sabah dan satu di Selangor menjadikan jumlah kematian seramai 277 orang. 

“Kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 36,434 dengan jumlah kes aktif berjumlah 10,503,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata terdapat 839 pesakit pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 25,654.

Sembilan kes baharu hari ini adalah kes import. Manakala, daripada 1,000 kes jangkitan tempatan hari ini, empat kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Data terbaru itu menjadikan, jumlah kes yang mempunyai rekod perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah 483 kes.

Tambahnya, setakat hari ini, 78 pesakit sedang dirawat di ICU dengan 28 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – 5 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen