KP Kesihatan akui tertekan, tak lena tidur kerana perang Covid-19


Ravin Palanisamy

Kita sudah berjuang tanpa henti selama 10 bulan, tanpa cuti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

SELEPAS berbulan melawan pandemik Covid-19 yang mula meledak awal tahun ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengakui beliau mengalami kepenatan mental dan fizikal serta berdepan tekanan.

Beliau turut mengakui yang pandemik semasa menyebabkan ramai orang tertekan, termasuklah dirinya sendiri, yang tidak lena tidur malam memikirkan cara dan kaedah untuk melandaikan keluk jangkitan.

“Setiap lapisan warga kerja KKM menjalankan tugasan dengan sebaik mungkin. Mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi, termasuk ketua pengarah kesihatan sendiri (yang merasai) tekanan yang amat tinggi.

“Kadang-kadang malam pun tak boleh tidur kerana pelbagai aktiviti yang kita fikirkan (mengenai) bagaimana kita nak menyelesaikan masalah ini. (Namun), setakat ini kita masih boleh bertahan,” katanya. 

“Kita sudah berjuang tanpa henti selama 10 bulan, tanpa cuti.

“Setiap hari ada mesyuarat, yang memerlukan tindakan diambil,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya lagi, petugas kesihatan sama ada pekerja barisan hadapan atau pengurusan juga dalam keadaan tertekan. Mereka turut berdepan cabaran mental dan fizikal kerana bekerja hampir tanpa rehat.

“Sememangnya ia adalah cabaran terbesar kerana kita dalam perang dan kita tak kenal siapa musuh kita.

“Kami sedang meneliti strategi,” kata Dr Noor Hisham.

Jumlah kes aktif Covid-19 negara kini melepasi 10,000 kes buat pertama kali apabila 801 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Malaysia kini mempunyai 10,123 kes aktif, 94 daripadanya sedang dirawat dalam ICU dengan 25 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Negara turut melaporkan lapan lagi kematian, menjadikan jumlah korban wabak kini naik kepada 246 orang. – 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Menteri dgn timb menteri buat apa...

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Marhaen Marhaen · Ulasan