Isu 'KP Kesihatan takut mati' diputar belit, kata ahli Parlimen


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

KENYATAN Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing berhubung ketua pengarah kesihatan telah diputarbelitkan oleh pembangkang, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional Shahidan Kassim.

Beliau berkata Tiong hanya menyampaikan luahan petugas barisan hadapan di Sabah yang bertanyakan mengapa Dr Noor Hisham Abdullah tidak turun ke negeri itu yang ketika ini melaporkan kes positif Covid-19 tertinggi dalam negara.

“Beliau bukan niat katakan lebih dari itu, kemudian kita lihat pihak pembangkang ambil kesempatan untuk katakan bahawa ini kenyataan kena tarik balik.

“Padahal dia buat kenyataan dari luahan orang ramai, barisan hadapan di Sabah kenapa tak turun padang, (yang bertanya) KP takut mati ke.

“Itu bahasa mudah Sarawak digunakan, dia belum habis ayat dia, (pembangkang) terus ambil kesempatan kononnya menggunakan kenyataan berkata kepada KP,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Tiong yang membuat kenyataan mengkritik Dr Noor Hisham semasa perbahasan bajet di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen DAP RSN Rayer yang cuba mempertahankan ketua pengarah kesihatan itu kemudiannya dihalau keluar semasa sidang Dewan Rakyat.

Beliau mencelah apabila Dr Noor Hisham Abdullah dikritik Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang menuduh ketua pengarah itu gagal memberi semangat kepada petugas barisan hadapan di Sabah.

Tiong dalam ucapannya mendakwa “ketua pengarah kesihatan takut mati” kerana tidak pernah melawat kawasan wabak yang terjejas teruk akibat Covid-19 di Sabah.

Dakwanya, Dr Noor Hisham tidak melakukan apa-apa selain membaca kenyataan secara sidang media secara langsung, yang menurut Tiong boleh dilakukan seorang pembantu pejabat.

Tegasnya lagi, kerajaan PN mengambil berat dan percaya terhadap kemampuan pegawainya tidak seperti semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

“Kalau kita ingat masa awal Covid di Malaysia adalah seorang menteri pelancongan, menteri kesihatan PH juga cakap pelancong Cina masuk Malaysia tak bahaya.

“Masa itu KP pun ada tapi bila PN memerintah KP diberi peranan lebih. Bila Perdana Menteri Muhyiddin ambil alih terus perkenalan Perintah Kawalan Pergerakan dan kita berjaya tangani peringkat peringkat pertama gelombang Covid-19.

“Kehadiran KP adalah usaha PN orang lain tak payah sibuk nk lihat kenyataan kecil yang dikeluarkan kita kononnya kita menentang pegawai kita.

“Pegawai kerajaan di bawah kita di bagi peluang dan ruang,” katanya. – 11 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen