4 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan, kata KP Kesihatan


Empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan melibatkan tiga kluster di Sabah manakala satu lagi di Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 10 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan empat lagi kluster baharu Covid-19 melibatkan tiga kluster di Sabah dan satu di Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Sabah, Kluster Liawan di Keningau membabitkan kes indeks (ke-37,553) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 November lepas dan dimasukkan ke Hospital Keningau.

Hasil saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif Covid-19 dan mereka dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Keningau, Sabah.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 95 individu telah disaring dengan 24 kes dikesan positif termasuk 11 kes baharu manakala 17 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.

Kluster kedua di Sabah iaitu Kluster Tatahan dikesan di Kota Kinabalu membabitkan kes indeks (ke-32,597) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 1 November lepas, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata saringan kontak rapat juga telah mengesan 17 lagi kes positif Covid-19 dengan kesemuanya dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Kota Kinabalu.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 28 individu telah disaring dengan 18 kes dikesan positif termasuk 10 kes baharu,” katanya.

Kluster ketiga pula iaitu GK Tawau dikesan di Tawau, Sabah dengan kes indeks (ke-12,923) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 6 Okt lepas manakala saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 48 lagi kes positif Covid-19 dan mereka dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 168 individu telah disaring dengan 49 kes dikesan positif termasuk dua kes baharu manakala 78 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata Kluster Kube telah dikesan di Kota Bharu dan Tanah Merah di Kelantan yang mana kes indeks (ke-40,206) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Nov lepas.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Tumpat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 61 individu telah disaring dan 10 kes dikesan positif Covid-19 termasuk sembilan kes baharu manakala lima individu masih menunggu keputusan,” katanya. – Bernama, 10 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen