Pusat tahanan sementara PATI sesak, mungkin ada 'ledakan' kluster baharu


Alfian Z.M. Tahir

Lebih 8,000 PATI dari 56 negara telah ditahan sejak Mei sehingga November tahun ini bagi mengekang dan menghentikan penyebaran virus Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 November, 2020.

SALAH satu daripada dua pusat tahanan sementara (PTS) Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Malaysia sesak, langsung membawa kebimbangan kemungkinan adanya kluster baharu yang akan meletus, kata Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Aris Adi Tan Abdullah.

Kini semua PATI ditahan di enam PTS dan 14 di depoh imigresen.

“Untuk PTS, ada dua pusat di semenanjung dan empat di Sabah. 10 daripada 20 pusat tahanan sekarang ini sesak.

“Contohnya di Tawau, kapasiti cuma 1,000 tapi ada 1,565 inidividu di situ,” kata Aris kepada The Malaysian Insight.

Aris berkata, sekarang ini pusat tahanan di Kota Kinabalu mencapai 81% lebih dari kadar maksimum.

“Jabatan Imigresen kata mereka dalam proses memindahkan sejumlah tahanan dan sekarang ini sedang menyelesaikan isu logistik,” katanya.

Bagaimanapun NTF tidak menyebut nama PTS yang sesak itu.

Kluster baharu di tiga PTS di Sabah 

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga PTS di Sabah telah mendapat kluster baharu.

Tiga kluster itu adalah Rumah Merah, PTS Sandakan dan PTS Tawau.

Sebelum ini, beberapa pusat tahanan seperti di Alor Setar, Kedah turut diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan merekodkan 440 kes positif di PTS Tawau melibatkan tahanan dan pekerja penjara.

Di PTS Sandakan, 111 individu didapati positif sementara lebih 650 telah disaring manakala kluster Rumah Merah merekodkan 111 jangkitan.

Semua PTS masih sedang berada di bawah PKPD.

Semalam Malaysia merekodkan jumah kes paling tinggi dengan 1,755 kes baharu Covid-19.

Sejumlah 741 atau 42.2% dilaporkan datang dari kluster penjara dan PTS.

Kes jangkitan tempatan di pusat tahanan ini dilaporkan Kementerian Kesihatan.

Minggu lalu, PTS Kota Kinabalu diletakkan di bawah PKPD selepas 56 tahanan didapati positif Covid-19.

PKPD itu melibatkan 1,820 tahanan dan 114 pekerja.

NTF merupakan agensi yang meliputi 19 pasukan keselamatan. Ianya ditubuhkan pada Mei bagi mengekang kemasukan PATI di negara ini ketika Malaysia sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Lebih 8,000 PATI dari 56 negara telah ditahan sejak Mei sehingga November tahun ini bagi mengekang dan menghentikan penyebaran virus Covid-19. – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen