Timbalan speaker usir ahli Parlimen DAP pertahan Noor Hisham


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dihalau keluar Dewan selepas mempertahankan KP Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

TINDAKAN seorang ahli Parlimen DAP RSN Rayer mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan menyebabkan beliau dihalau keluar semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mencelah apabila Dr Noor Hisham Abdullah dikritik Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang menuduh ketua pengarah itu gagal memberi semangat kepada petugas barisan hadapan di Sabah.

Tiong dalam ucapannya mendakwa “Ketua pengarah kesihatan takut mati” kerana tidak pernah melawat kawasan wabak yang terjejas teruk akibat Covid-19 di Sabah.

Dakwanya, Dr Noor Hisham tidak melakukan apa-apa selain membaca kenyataan secara sidang media secara langsung, yang menurut Tiong boleh dilakukan seorang pembantu pejabat.

Tiong seterusnya mendakwa Dr Noor Hisham hanya bertindak demikian untuk meraih publisiti supaya dilantik penjadi setiausaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ketua pengarah tiap-tiap hari buat berita saja, bikin apa? Office boy pun boleh baca. Kenapa dia tak turun padang, macam di Kota Kinabalu sekarang begitu teruk.

“Kenapa tak turun lawat tiap-tiap hospital. Jangan hantar saja (barisan depan). Oh orang itu tak takut mati, tapi KP takut mati… Timbalan pun tak pergi.

“Tak usahlah hari-hari buat publisiti. Sekarang dengar beliau nak jadi setiausaha WHO, memang tak layak,” katanya.

Rayer dan beberapa orang ahli Parlimen pembangkang kemudiannya bangun dan mendakwa Tiong melanggar Peraturan Mesyuarat dengan membuat serangan peribadi ke atas penjawat awam.

Rayer juga mendesak Timbalan Speaker Azalina Othman Said meminta Tiong meminta maaf kerana menghina Dr Noor Hisham.

Pada masa sama penyokong kerajaan diketuai Shahidan Kassim (Arau- BN) mempertahankan Tiong dan ia seterusnya mencetus perang mulut yang berlangsung selama berapa minit.

Selepas beberapa kali memberi arahan kepada Rayer, Azalina kemudiannya mengarahkan ahli Parlimen DAP itu keluar dewan.

Azalina selepas itu berkata mana-mana ahli Parlimen yang mahu mencelah atau meminta penjelaskan perlu meminta ahli Parlimen yang sedang berdebat tamat ucapan.

“Apa pun dalam perbahasan habiskan kalau nak minta maaf atau apa pun buat lepas perbahasan. Sekarang Bintulu sudah minta maaf dan nak tarik balik,” kata Azalina.

Tiong bagaimanapun tetap enggan menarik balik dakwaan itu.

Kejadian itu berlangsung ketika Tiong membahaskan pembentangan Belanjawan 2021 yang menyedia peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan untuk menangani Covid-19.

Sabah terus mencatat kadar jangkitan paling besar. Lebih 61% daripada kesemua 13,063 kes positif yang sedang dirawat dalam negara kini dikesan di Sabah. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen