Tempat kerja sumbang lebih 5,000 kes Covid-19, kata KP Kesihatan


Alfian Z.M. Tahir

Pekerja binaan beratur berdekatan tapak pembinaan di Kota Kinabalu, Sabah. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata lebih 5,000 kes positif Covid-19 berkaitan dengan kluster tempat kerja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 13 November, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lebih daripada 5,000 kes positif Covid-19 berkaitan dengan kluster tempat kerja.

Beliau berkata daripada 158 kluster aktif, 65 berkaitan dengan tempat kerja termasuk dua kluster baharu yang dikenal pasti hari ini.

Menurutnya seramai 5,681 orang yang didapati positif dijangkiti di tempat kerja mereka dan daripada jumlah ini, 3,369 adalah penduduk tempatan dan 2,312 adalah warga asing.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada majikan yang mengambil langkah proaktif dengan mengambil pekerja mereka untuk pemeriksaan Covid-19 bagi mengekang penyebaran virus.

Tambahnya jumlah jangkitan yang tinggi di tempat kerja kebanyakannya disebabkan oleh pekerja yang ditempatkan kawasan kecil dan sesak.

“Bagi pekerja asing, mereka tinggal di bilik kecil atau rumah yang sesak sehingga memudahkan penyebaran virus.

“Bagi penduduk tempatan kami mempunyai kes di mana jangkitan berlaku kerana menghadiri majlis seperti perkahwinan dan menghabiskan banyak masa di khalayak ramai.

“Ada kejadian yang melibatkan pegawai kesihatan yang dijangkiti selepas salah seorang rakannya menghadiri majlis perkahwinan,” katanya. 

Empat kluster baharu dikenal pasti

Hari ini Malaysia mengenal pasti empat lagi kluster baharu manakala tiga kluster yang lain disahkan tamat.

Dr Noor Hisham berkata dua kluster dikesan di Sabah sementara masing-masing satu di Sarawak dan Melaka.

“Kluster Bonggaya dan Jambatan B dikesan di Sandakan, Sabah.

“Kes indeks untuk Bonggaya adalah seorang pesakit yang didapati positif selepas saringan komuniti dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent. Pengesanan kontak mendapati 45 yang lain dijangkiti.

“Sehingga 13 November seramai 243 orang diuji dengan 46 didapati positif sementara 123 yang lain diuji negatif dan 74 yang lain menunggu keputusan.

“Untuk Jambatan B kes indeknya adalah pesakit yang positif pada 17 Oktober. Dia menjangkiti 52 yang lain.

“Sehingga kini seramai 201 orang disaring dengan 52 orang positif dan 118 orang negatif manakala 30 lagi masih menunggu keputusan mereka,” katanya.

Mengenai kluster di Sarawak, Dr Noor Hisham berkata seramai 14 orang telah dijangkiti sementara 10 diuji positif dari kluster di Melaka.

Sementara itu tiga kluster yang sudah tamat ialah Selasih (Selangor dan Negeri Sembilan), Bah Pengakalan (Perak) dan Bah Pasir (Putrajaya dan Negeri Sembilan). – 13 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen