Utusan gagal bayar pampasan pertama VSS ikut masa


Utusan Melayu Berhad dipercayai sedang dalam proses melepaskan pegangan beberapa aset lain yang bernilai RM50 juta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2018

KUMPULAN Utusan Melayu Berhad gagal membayar pampasan pertama pemberhentian sukarela lebih 700 kakitangannya yang menamatkan perkhidmatan akhir bulan lepas, yang sepatutnya dibayar esok.

Pembayaran pampasan itu kini ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak dinyatakan, kata pengurusan syarikat dalam surat pekeliling kepada penerima VSS.

Sesalinan surat berkenaan dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Syarikat sedang berusaha dengan sedaya upaya untuk melaksanakan pembayaran ini secepat mungkin,” kata pengurus besar sumber manusia syarikat, Mohd Nazlan Osman, dalam surat tersebut.

Beberapa bekas wartawan Utusan yang menerima VSS mengesahkan pengumuman syarikat itu.

Dalam surat tersebut, pengurusan Utusan membayangkan tidak cukup dana untuk melunaskan pembayaran pampasan VSS kerana belum dapat wang daripada pihak yang membeli aset syarikat, yang hasil jualan tersebut akan digunakan bagi menampung kos pampasan.

“Penjualan aset syarikat fasa pertama yang bernilai RM30.5 juta telah pun bermula tetapi malangnya pembayaran oleh pihak pembeli tidak seperti dijangkakan,” kata surat itu lagi.

Sumber memberitahu Utusan, syarikat yang membeli aset berkenaan sudah membayar pendahuluan RM600,000 dan belum melunaskan bakinya.

Pengumuman oleh pengurusan syarikat itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Amanah VSS hari ini yang dipengerusikan ahli lembaga pengarah Ahmad Fauzi Zahari. Mesyuarat disertai wakil penerima VSS dari pelbagai peringkat kakitangan.

The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat tersebut juga diberitahu Utusan sedang dalam proses melepaskan pegangan beberapa aset lain yang bernilai RM50 juta.

Utusan sebelum ini pernah juga terlewat membayar gaji kakitangannya sehingga kesatuan sekerja mengugut akan membuat piket.

Utusan menawarkan pampasan satu setengah bulan gaji diganda dengan tahun berkhidmat atau baki tahun akan terus berkhidmat bagi kakitangan yang bergaji di bawah RM5,000.

Mereka yang bergaji antara RM5,000 hingga RM10,000 ditawarkan pampasan satu perempat bulan gaji sementara yang bergaji lebih RM10,000 pampasan sebulan gaji.

Pampasan itu dibayar secara ansuran dalam tempoh 12 bulan bermula bulan ini, kaedah yang pernah ditegur Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar.

Laporan sebelum ini menyebut pampasan secara ansuran itu kemudiannya dipersetujui oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan selepas mendengar penjelasan daripada pihak pengurusan syarikat.

The Malaysian Insight difahamkan antara perkara yang dipersetujui pada masa itu ialah Jabatan Buruh akan campur tangan untuk mengambil tindakan sekiranya ada pelanggaran perjanjian VSS.

Pada 21 September lepas, Kumpulan Utusan menawarkan VSS untuk mengurangkan separuh daripada 1,500 kakitangannya. Tawaran awal itu bagaimanapun dikritik oleh kesatuan sekerja sebagai “tidak ikhlas, tidak jujur dan cukup mencurigakan.”

Tawaran itu dibuat ketika Utusan diterajui bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Abdul Aziz Sheikh Fadzir sebagai pengerusi eksekutif syarikat.

Pada 13 Disember lalu, Utusan bagaimanapun mengumumkan Aziz letak jawatan dua minggu selepas melaksanakan langkah mengecilkan operasi syarikat termasuk menutup pejabat biro di negeri dan kilang percetakan di Gong Badak, Terengganu.

Aziz letak jawatan serentak dengan pengumuman Ibrahim Yahaya sebagai ketua pengarang kumpulan Utusan dan pengarah eksekutif syarikat. Beliau bagaimanapun letak jawatan genap seminggu kemudian selepas Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya.

Melalui VSS, Utusan menawarkan pampasan satu setengah bulan gaji diganda dengan tahun berkhidmat atau baki tahun akan terus berkhidmat bagi kakitangan yang bergaji di bawah RM5,000.

Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank. – 24 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen